Lelaki diserang strok terlantar sendirian dalam bilik bersama najis, sampah

PASIR MAS - Seorang lelaki yang diserang penyakit strok sejak dua tahun lalu terpaksa hidup sendirian selepas terlantar di rumahnya di Kampung Bunut Susu di sini.
Samsudin Mohamed, 60, mula hidup sebatang kara sejak tiga tahun lalu selepas bercerai dengan isterinya.
Dia yang pernah bekerja sebagai jurukimpal dikatakan mempunyai empat orang anak berusia antara tujuh hingga 25 tahun namun kesemua mereka mengikut bekas isterinya.
Samsudin tular di media sosial apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Jejak Jalanan yang diketuai oleh Abe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan hadir ke rumahnya pada Ahad.
Dirinya terlantar, tidak terurus serta tinggal dalam bilik yang kotor dengan najis dan sampah sarap sehingga mencetuskan rasa simpati daripada orang ramai.
Menurut Penghulu Mukim Bunut Susu, Abdul Rahim Abbas, selepas bercerai Samsudin tinggal sendirian di rumah miliknya dan setahun kemudian dia diserang penyakit strok.

Ujarnya, lelaki terbabit mempunyai empat adik beradik lelaki yang mana hanya seorang tinggal di Kelantan manakala selebihnya berada di luar negeri itu.
"Adik-beradiknya ada datang jenguk tetapi disebabkan mereka tinggal jauh hanya pulang bila musim perayaan atau cuti umum.
"Sebelum ini Samsudin dijaga oleh seorang pengasuh lelaki yang diupah dengan kadar bayaran RM500 sebulan. Lelaki terbabit berhenti pada Oktober tahun lalu kerana ingin mencari pekerjaan yang lebih terjamin," katanya ketika dihubungi.
Sejak itu katanya, kehidupan Samsudin mulai tidak terurus.
Abdul Rahim bagaimanapun berkata, Samsudin menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500.
Selain itu jelasnya, lelaki berkenaan turut menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Isiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Tambahnya lagi, pada Jun tahun lalu JKM pernah membawa Samsudin ke Dungun, Terengganu untuk ditempatkan di rumah kebajikan di sana namun dihantar pulang semula kerana difahamkan dia menghidap Hepatitis B.
"Sepanjang Samsudin diserang strok, jiran-jiran banyak membantu menolong menjaganya dengan memberi makanan dan sebagainya.
"Kami telah cuba supaya upaya membantu bagi memastikan nasib Samsudin mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.
Ringkasan AI
- Samsudin Mohamed, 60, hidup sendirian di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas selepas bercerai
- Diserang penyakit strok dua tahun lalu, terpaksa tinggal dalam keadaan tidak terurus
- Memiliki empat anak yang kini tinggal bersama bekas isterinya
- Kehidupan Samsudin menjadi perhatian masyarakat setelah dikunjungi oleh NGO Pertubuhan Jejak Jalanan
- Menerima bantuan bulanan dari JKM dan sumbangan dari MAIK, namun pernah dihantar pulang dari rumah kebajikan kerana menghidap Hepatitis B
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

