Dilahirkan istimewa, Nur Damia tetap semangat kejar impian

HULU TERENGGANU - Seorang gadis yang diuji dengan ketiadaan tangan dan kaki sejak dilahirkan tidak pernah berputus asa malah semakin bersemangat meneruskan pengajian demi mencapai impiannya untuk bergelar pereka dalaman.
Walaupun memiliki kekurangan, kecekalan Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 19, dalam menuntut ilmu wajar dicontohi oleh generasi muda.
Menurut Damia, minat mendalam terhadap bidang reka bentuk dalaman mendorongnya untuk menyambung pengajian selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diterima masuk ke Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC).
Katanya, ketika di bangku sekolah, dia mengikuti Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan berjaya menamatkan persekolahan dengan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua.
"Disebabkan saya sudah memiliki SKM tahap dua, saya ingin melanjutkan pengajian ke peringkat SKM tahap tiga, tapi berdepan kesulitan sebab kebanyakan institusi pengajian tinggi hanya menawarkan program kepada orang kurang upaya (OKU) yang boleh menguruskan diri sendiri.
"Saya bersyukur sebab TTITC beri peluang dan terima saya untuk melanjutkan pengajian SKM tahap tiga di pusat pengajian mereka," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Rozi Mamat di kediamannya di Kampung Lubuk Batu di sini pada Ahad.

Damia berkata, pihak TTITC turut melakukan beberapa penambahbaikan prasarana bagi memudahkannya mengikuti sesi pembelajaran, termasuk menaik taraf laluan kerusi roda serta meluaskan pintu bilik kuliah.
Sementara itu, ibunya, Rosnaini Mohamad, 48, berharap anak ketiga daripada empat beradik itu dapat merealisasikan cita-citanya untuk menjadi seorang pereka dalaman.
"Damia memang sangat minat bidang ini dan kami sekeluarga memberi sokongan penuh kepadanya, tapi terdapat sedikit kesukaran untuk dia melanjutkan pengajian disebabkan faktor pengurusan diri.
"Kami faham kebanyakan institusi pengajian tinggi menawarkan kursus kepada OKU yang boleh menguruskan diri, sedangkan Damia memerlukan bantuan kami," katanya.
Menurutnya, peluang yang diberikan oleh TTITC amat dihargai oleh keluarga mereka kerana memberi ruang kepada Damia untuk terus mengejar impian.
"Setiap hari kakak Damia akan menghantarnya ke pusat pengajian dan menjemputnya pulang kerana dia tidak dapat tinggal di asrama seperti pelajar lain," ujarnya.
Rosnaini berkata, Damia menghidap Sindrom Tetra-amelia dan kini mendapatkan rawatan rehabilitasi serta rawatan pakar tulang secara berkala.
Kisah Damia Irsalina pernah dipaparkan di akhbar sebelum ini selepas dia dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan kaki.
"Saya harap Damia mampu mengatur langkah dan berjaya dalam bidang yang diceburinya walaupun dilahirkan tidak seperti insan lain.
"Kami sekeluarga akan terus memberi dorongan kerana tiada yang mustahil selagi kita berusaha," katanya.
Sementara itu, Rozi berkata, kunjungannya ke rumah Damia bagi melihat perkembangan gadis itu yang dikenalinya sejak bayi.
Menurutnya, kecekalan Damia diharap dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk terus melanjutkan pengajian selepas tamat persekolahan.
"Saya mengenali anak istimewa ini sejak dia dilahirkan dan turut menyambut kemasukannya ke alam persekolahan ketika darjah satu.
"Kini Damia sudah meningkat remaja dan saya melihat kekentalan hidupnya apabila dia terus cekal meneruskan pengajian walaupun dilahirkan tanpa tangan dan kaki," katanya.
Ringkasan AI
- Nur Damia Irsalina Daeng Malis, seorang gadis tanpa tangan dan kaki, bersemangat untuk menjadi pereka dalaman
- Walaupun menghadapi kekurangan, dia tidak berputus asa dan telah diterima masuk ke Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC)
- Damia telah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dengan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua
- TTITC melakukan penambahbaikan prasarana untuk memudahkannya mengikuti sesi pembelajaran
- Keluarga Damia memberi sokongan penuh kepada impiannya meskipun menghadapi cabaran dalam pengurusan diri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
