Isu ladang komersial Felda, kerajaan Terengganu hampir selesai - Ahmad Zahid

KUALA NERUS – Perbincangan berhubung isu melibatkan ladang komersial antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan kerajaan Terengganu kini hampir selesai.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta Bahagian Kawalan Felda (BKF) dan penyelesaian dijangka dicapai dalam masa terdekat.
"Hampir selesai. Kita telah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga BKF. Insya-ALLAH perkara ini akan diselesaikan dalam waktu yang paling terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 dan Pemukiman Syarikat Milikan Agensi KKDW di sini pada Ahad.
Sebelum ini, kerajaan Terengganu mengeluarkan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) iaitu larangan menceroboh terhadap tanah yang diusahakan Felda melibatkan 10 ladang dengan keluasan kira-kira 15,000 hektar.
Notis berkenaan diserahkan secara serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu selepas kerajaan negeri mendakwa tanah tersebut diteroka tanpa pembayaran premium, cukai tanah atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun.
Untuk rekod, tanah yang diusahakan Felda sejak 1985 itu melibatkan kawasan seluas 14,791 hektar termasuk Ladang FGV Setiu 1 seluas 1,742 hektar.
Kerajaan negeri mendakwa, tanah berkenaan telah melalui proses tanam semula dan diusahakan tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah atau perkongsian keuntungan.
Ringkasan AI
- Perbincangan mengenai isu ladang komersial antara Felda dan kerajaan Terengganu hampir selesai
- Timbalan Perdana Menteri menyatakan akan ada penyelesaian dalam masa terdekat
- Notis Seksyen 425 dikeluarkan oleh kerajaan Terengganu terhadap tanah yang diusahakan Felda
- Tanah tersebut melibatkan 10 ladang dengan keluasan kira-kira 15,000 hektar
- Tanah telah diusahakan sejak 1985 tanpa pembayaran premium, cukai tanah atau perkongsian keuntungan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
