RXZ Forever Legend: Wanita berpakaian seksi diarah pulang, 30 'dihadiahkan' tudung

Mohd Nassuruddin (depan, tengah) meluangkan masa menunggang motosikal RXZ bersama peserta pada Majlis Penutup RXZ Forever Legend. Foto: MB. Gambar kecil: Muhamad Huzaifah
Mohd Nassuruddin (depan, tengah) meluangkan masa menunggang motosikal RXZ bersama peserta pada Majlis Penutup RXZ Forever Legend. Foto: MB. Gambar kecil: Muhamad Huzaifah
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang wanita diarahkan pulang apabila hadir memakai skirt serta baju terbelah di dada pada perhimpunan permotoran RXZ Forever Legend yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini selama dua hari bermula Jumaat.

Pada masa sama, 30 lagi wanita ‘dihadiahkan’ tudung untuk dipakai selepas didapati tidak menutup aurat sebagaimana yang dimaklumkan oleh penganjur, apabila seluruh tapak program diisytiharkan sebagai zon menutup aurat.

Pengarah Program RXZ Forever Legend, Muhamad Huzaifah Abdul Halim berkata, di pintu masuk lagi pihaknya telah menempatkan petugas bagi membuat pemantauan terhadap pengunjung yang hadir.

“Wanita yang kami minta pulang itu kerana pakaiannya terlalu seksi. Itu antara ketegasan yang kami tetapkan.

“Pada masa yang sama, kami telah menyediakan 100 helai tudung untuk wanita yang tidak menutup aurat dan hanya sekitar 30 orang yang berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup RXZ Forever Legend di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini pada Sabtu.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang turut meluangkan masa menunggang motosikal RXZ bersama peserta.

Muhamad Huzaifah berkata, hampir 99 peratus peserta yang hadir menunjukkan tahap kepatuhan terhadap syariah yang telah ditetapkan.

Dalam perkembangan sama beliau memberitahu, seramai 20,000 peminat sukan bermotor dari seluruh negara serta Selatan Thailand hadir memeriahkan himpunan tersebut.

Ujarnya, penganjuran kali pertama itu berjaya dilaksanakan selepas hampir dua tahun dirancang bermula pada 2024.

Artikel Berkaitan:

“Melihat kepada sambutan peserta, Insya-ALLAH kami akan menganjurkan RXZ Forever Legend 2.0 pada masa akan datang,” katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang wanita diarahkan pulang kerana memakai skirt dan baju berbelah di dada di perhimpunan permotoran RXZ Forever Legend
  • Tiga puluh wanita diberi tudung untuk menutup aurat di acara yang sama
  • Penganjur telah meletakkan petugas untuk memantau pakaian pengunjung
  • Seramai 20,000 peminat sukan bermotor dari Malaysia dan Selatan Thailand hadir
  • Penganjuran RXZ Forever Legend 2.0 dirancang pada masa akan datang berdasarkan sambutan positif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!