Durian merah berpotensi jadi produk ekonomi baharu di Sabah

TONGOD – Durian merah atau lebih dikenali sebagai Maraang dalam kalangan penduduk di pantai timur Sabah, berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk ekonomi baharu bernilai tinggi serta menembusi pasaran serantau Asia.
Buah eksotik yang mempunyai rasa lemak manis serta kaya dengan khasiat tersendiri itu turut menjadi sebahagian daripada warisan makanan masyarakat tempatan.
Dalam kalangan masyarakat Sungai, durian merah lazimnya ditumis menjadi sambal dan dinikmati bersama nasi, sekali gus menjadikannya menu tradisional yang popular serta menambahkan keenakan hidangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, keunikan Maraang wajar diberi perhatian serius, khususnya melalui kajian dan pembangunan varieti tanaman menggunakan teknologi agronomi moden oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI).
Menurut beliau, pendekatan agronomi moden mampu menghasilkan anak benih durian merah yang bermutu tinggi, dengan saiz pokok yang lebih rendah dan produktif berbanding kaedah penanaman tradisional sedia ada.
“Saya yakin Menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar, yang berpengalaman luas dalam industri pertanian berasaskan durian, mampu mengetengahkan varieti durian merah sebagai tanaman secara moden.
“Apabila durian merah menjadi tanaman utama di negeri ini, pengeluaran buah eksotik tersebut akan meningkat sekali gus memperluas pasaran negeri,” katanya di sini pada Ahad.
Beliau menjelaskan bahawa durian merah merupakan tanaman bermusim yang menjadi makanan tradisi masyarakat Sungai di Tongod, Kinabatangan, Telupid dan Beluran.
“Kelazatan isi durian merah bukan sahaja menjadi makanan tradisi masyarakat tempatan, malah turut menjadi buruan pencinta rasa di Sarawak.
“Malah, pelancong asing kini dilihat berminat mencuba varieti durian unik ini ketika berkunjung ke Sabah, sekali gus membuka peluang untuk menembusi pasaran makanan di rantau Asia,” katanya.
Menurut beliau, kajian terhadap varieti cantuman agronomi baharu penting bagi menghasilkan pokok yang lebih rendah dan produktif, selain membolehkan Maraang dipromosikan sebagai tanaman domestik dalam industri pertanian Sabah.
“Uniknya, buah durian merah ini tidak akan luruh walaupun sudah matang. Pokoknya yang besar dan tinggi memerlukan khidmat penduduk tempatan yang mahir memanjat untuk memetik buahnya.
“Dengan hasil sehingga 200 biji bagi setiap pokok serta kandungan gula yang rendah, durian merah berpotensi besar sebagai produk agropelancongan baharu yang unik,” katanya.
Beliau berkata, gabungan keunikan rasa, nilai warisan serta potensi industri pertanian dan pelancongan menjadikan durian merah Maraang berupaya muncul sebagai ikon produk eksotik tempatan yang menjanjikan pulangan ekonomi tinggi kepada Sabah.
Ringkasan AI
- Durian merah atau Maraang berpotensi sebagai produk ekonomi baharu di Sabah
- Memiliki rasa lemak manis dan merupakan warisan makanan masyarakat tempatan
- Ditumis menjadi sambal dan popular sebagai menu tradisional di kalangan masyarakat Sungai
- Kajian dan pembangunan varieti tanaman dengan teknologi agronomi moden oleh MAFFI diperlukan
- Potensi peningkatan pengeluaran dan pasaran, menjadikannya sebagai tanaman utama di Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
