KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) terus bertindak tegas dengan membanteras iklan haram di sepanjang jalan menerusi operasi yang dijalankan selama dua hari, berakhir semalam.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Izad Zainal Muhammad Safian berkata, operasi dijalankan untuk memastikan bandar lestari tersebut tidak dicemari dengan papan tanda iklan haram yang boleh mencacatkan pemandangan.

Katanya, sebanyak 200 papan tanda iklan haram ‘ditumbangkan’ penguat kuasa MPK di sepanjang Jalan Kuantan-Gambang, di sini.

“Seramai 35 kakitangan MPK terdiri daripada beberapa jabatan termasuk Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perlesenan, Jabatan Perancang dan Bahagian Penyelenggaraan terbabit dalam operasi tersebut.

“Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan menjalankan operasi di sepanjang  jalan dari Kuantan ke Gambang manakala sebuah lagi merangkumi jalan dari Gambang ke Kuantan, turut disertai dua kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, usaha merobohkan papan iklan haram terpaksa dijalankan bagi memastikan kawasan di sepanjang jalan tidak dicemari dengan papan iklan yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

“Ini kerana terdapat papan iklan yang diletakkan terlalu hampir dengan bahu jalan yang dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

“Selain itu, ada juga yang diletakkan sewenangnya di simpang-simpang jalan hingga menghalang pandangan jika dibiarkan boleh mengundang kemalangan.

“Di samping itu, papan iklan haram berkenaan juga mencacatkan pemandangan pengunjung yang memasuki bandar Kuantan terutama yang melalui Tol Gambang... bukan sahaja susunan yang tidak teratur malah penggunaan bahasa yang tidak bersesuaian sekali gus bakal memberi kesan negatif terutama sepanjang Tahun Melawat Pahang 2017,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, pihaknya sudah bertindak tegas supaya pengusaha yang memasang papan tanda iklan haram tidak lagi membina binaan di atas tanah rizab kerajaan negeri tanpa kebenaran.

“Mereka tidak dibenarkan memasang binaan papan iklan atau tanda di tanah kerajaan, sebaliknya jika ingin memasangnya hendaklah di tanah persendirian dengan syarat mendapat kebenaran daripada MPK terlebih dahulu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengenakan tindakan yang lebih tegas terhadap pengusaha iklan yang gagal mematuhi syarat pemasangan papan iklan di kawasan bandaraya ini.
  • KUALA ROMPIN - Polis menggesa orang awam tidak terpengaruh dengan pinjaman wang berlesen seperti tertera pada iklan atau gegantung haram yang terdapat di daerah ini terutama di kawasan perumahan dan kampung.
  • KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebajikan dan Kemajuan Islam Bersatu (PKKIBM) menanggalkan iklan poster haram ah long di 14 lokasi sekitar ibu kota dan pinggir bandar, semalam.
  • KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebajikan dan Kemajuan Islam Bersatu (PKKIBM) menanggalkan iklan poster haram ah long di 14 lokasi sekitar ibu kota dan pinggir bandar tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.