Terengganu tiada rekod kes bunuh, samun bersenjata dua tahun berturut-turut

Mohd Khairi (tengah) menyampaikan sijil penghargaan sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Terengganu di Kuala Nerus pada Ahad.
Mohd Khairi (tengah) menyampaikan sijil penghargaan sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Terengganu di Kuala Nerus pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS – Terengganu tidak merekodkan sebarang kes bunuh dan samun bersenjata api sepanjang tempoh dua tahun berturut-turut iaitu 2024 dan 2025 sekali gus membuktikan negeri ini berada pada tahap keselamatan yang baik.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha dan komitmen seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu dalam mengekang jenayah serta melaksanakan pendekatan kepolisan komuniti di setiap daerah termasuk di sekolah-sekolah.

"Bagi tempoh tahun 2024 dan 2025, Terengganu tidak merekodkan sebarang kes bunuh, selain tiada juga kes samun bersenjata api direkodkan dalam tempoh tersebut.

"Pencapaian itu membuktikan Terengganu boleh dikategorikan sebagai sebuah negeri yang selamat," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Terengganu di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau berkata, kes rogol dan sumbang mahram menunjukkan peningkatan empat kes pada tahun 2025 dengan 94 kes direkodkan berbanding 90 kes pada tahun sebelumnya.

"Kebanyakan mangsa melibatkan remaja berusia antara 13 hingga 16 tahun dan peningkatan itu dipercayai dipengaruhi pendedahan kepada media sosial, termasuk kandungan tidak bermoral serta perkenalan melalui aplikasi sembang yang membawa kepada pertemuan fizikal.

"Walaupun terdapat kes melibatkan unsur suka sama suka, dari sudut perundangan, sebarang perlakuan seksual membabitkan individu bawah umur 16 tahun tetap dikategorikan sebagai rogol dimana kebanyakan kes berlaku disebabkan yang dipengaruhi media sosial," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kes kecurian masih menjadi penyumbang tertinggi jenayah di Terengganu termasuk kecurian kabel dan besi.

Bagaimanapun katanya, kes tersebut menunjukkan penurunan daripada 741 kes pada 2024 kepada 674 kes pada 2025.

Artikel Berkaitan:

"Kes kecurian dan pecah rumah masih berlaku tetapi berada dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan," katanya.

Beliau berkata, cabaran utama ketika ini adalah jenayah komersial yang semakin membimbangkan apabila kes penipuan, khususnya penipuan dalam talian, berlaku hampir setiap hari dan sering melibatkan golongan pesara.

Jelas beliau, berdasarkan statistik kes Jenayah Komersil, sepanjang Tahun 2024 sebanyak 1,335 kes telah dilaporkan manakala bagi tahun 2025 pula adalah sebanyak 2,046 kes dengan peningkatan sebanyak 711 kes bersamaan dengan 53.25 peratus.

"Dari segi cabaran, kes jenayah konvensional seperti kecurian tidak terlalu kompleks. Namun jenayah komersial lebih membimbangkan kerana kes penipuan berlaku hampir setiap hari, termasuk melibatkan golongan pesara yang menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Misalnya, terdapat kes melibatkan pesara kerajaan yang panik selepas dimaklumkan kononnya terlibat dengan pengubahan wang haram, sebelum diarahkan memindahkan wang ke akaun tertentu. Oleh itu, jenayah komersial dilihat lebih kritikal berbanding jenayah kekerasan,"ujarnya.

Mohd Khairi bagaimanapun berkata, dari segi penyelesaian kes, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Terengganu berada di kedudukan ketujuh daripada 14 kontinjen di peringkat kebangsaan dengan kadar penyelesaian kes melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan PDRM.

Ringkasan AI

  • Terengganu tidak merekodkan sebarang kes bunuh dan samun bersenjata api sepanjang 2024 dan 2025
  • Kes rogol dan sumbang mahram menunjukkan peningkatan pada tahun 2025 dengan 94 kes
  • Kes kecurian, termasuk kecurian kabel dan besi, menunjukkan penurunan dalam tempoh yang sama
  • Jenayah komersial seperti penipuan menjadi semakin membimbangkan, terutama melibatkan golongan pesara
  • Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Terengganu berada di kedudukan ketujuh dari 14 kontinjen di peringkat kebangsaan dalam penyelesaian kes

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!