PDRM pergiat usaha jejak saki-baki Geng Kapten Praba

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiat usaha mengesan saki- baki kumpulan penjenayah Geng Kapten Praba yang dikesan melarikan diri ke luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya percaya suspek termasuk ketua kumpulan itu meninggalkan negara menggunakan lorong tikus.
"Kamu boleh lari tetapi tidak boleh bersembunyi daripada kami (polis). Kami akan mencari kamu,” katanya kepada pemberita pada program Thaneer Panthal sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves pada Sabtu.
Polis memburu ahli kumpulan Geng Kapten Praba menerusi OP Jack Sparrow selepas dipercayai menjadikan India dan Thailand sebagai lokasi persembunyian sejak September tahun lepas.
Sebelum ini, tiga ahli kumpulan itu ditahan di Mumbai, India pada Ahad lepas, selepas cubaan untuk memasuki United Kingdom gagal, dan dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang sebaik tiba negara ini pada Rabu lepas.
Sementara itu, Kumar berkata, program hari ini melibatkan 88 pegawai dan anggota PDRM menyediakan makanan serta minuman percuma, iaitu sebahagian daripada aktiviti kepolisan komuniti yang dijalankan sejak 38 tahun lepas.
"Pasukan polis dikenali dengan tindakan penguatkuasaan, tetapi kami di sini untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat dan berkongsi demi kebaikan negara kita,” katanya.
Pada program itu, PDRM turut mengedarkan lebih 1,000 beg cenderahati mengandungi maklumat Pusat Respons Scam Kebangsaan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap jenayah penipuan.
Beliau turut menasihatkan pengunjung yang hadir ke sambutan Thaipusam supaya sentiasa mematuhi adat dan peraturan keagamaan bagi memastikan keadaan lancar dan selamat. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia memburu sisa kumpulan Geng Kapten Praba yang lari ke luar negara
- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar menyatakan suspek keluar negara menggunakan lorong tikus
- Operasi Jack Sparrow dijalankan untuk memburu ahli Geng Kapten Praba yang bersembunyi di India dan Thailand
- Tiga ahli kumpulan ditahan di Mumbai setelah gagal masuk United Kingdom dan dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang
- PDRM mengedarkan lebih 1,000 beg cenderahati untuk meningkatkan kesedaran terhadap jenayah penipuan semasa Thaipusam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
