Restoran diserbu, paksa kerja 12 jam tanpa cuti

Pekerja ditahan menerusi Op Pintas Khas pada Rabu.
Pekerja ditahan menerusi Op Pintas Khas pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka menumpaskan satu sindiket disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah menerusi serbuan Op Pintas Khas di sebuah premis di Pusat Niaga Nakhoda di sini pada Rabu.

Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati premis tersebut beroperasi sebagai restoran di bahagian bawah, manakala tingkat atas dijadikan tempat tinggal pekerja dengan enam bilik disediakan.

Menurut beliau, pekerja didapati bekerja tanpa hari cuti dari jam 11 pagi hingga 11 malam selain laluan keluar masuk premis dikunci selepas waktu operasi.

“Kunci hanya dipegang oleh pihak pengurusan, sekali gus mengehadkan kebebasan pergerakan pekerja.

Restoran yang disyaki terlibat aktiviti pemerdagangan manusia dan menggaji pekerja tanpa dokumen sah.
Restoran yang disyaki terlibat aktiviti pemerdagangan manusia dan menggaji pekerja tanpa dokumen sah.

“Keadaan ini menimbulkan syak wasangka kuat berlakunya eksploitasi dan pengurungan selaras dengan elemen kesalahan pemerdagangan manusia,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, serbuan tersebut membawa kepada penahanan 27 individu terdiri seorang lelaki warga China berusia 20 tahun dan seorang wanita warga China berusia 24 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengurus serta penyelia premis.

“Turut ditahan ialah 15 lelaki dan 10 wanita warga Myanmar berumur antara 23 hingga 47 tahun yang disyaki bekerja tanpa permit atau pas sah.

Artikel Berkaitan:

“Polis turut menyelamatkan dua remaja warga Myanmar, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa sindiket berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, tindakan menyelamat dilaksanakan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selepas penilaian dibuat berdasarkan National Guideline on Human Trafficking Indicator (NGHTI 2.0).

Tempat tinggal pekerja.
Tempat tinggal pekerja.

Ujarnya, serbuan dijalankan hasil risikan oleh Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan kerjasama Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas dua unit telefon bimbit, satu mangga beserta kunci serta beberapa jadual kerja bertarikh antara 19 Januari hingga 8 Februari 2026.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Christopher berkata, semua individu ditahan ditempatkan di lokap polis secara berasingan mengikut kategori dan jantina manakala dua remaja diselamatkan akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh bagi mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO).

PDRM Kontinjen Melaka menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia, eksploitasi buruh serta penggajian pekerja asing tanpa dokumen, khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan golongan rentan.

Ringkasan AI

  • Polis Melaka menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia dan penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah
  • Premis beroperasi sebagai restoran bertingkat dengan pekerja terkunci selepas waktu operasi dan bekerja tanpa hari cuti
  • 27 individu ditahan termasuk dua pengurus warga China dan pekerja warga Myanmar tanpa permit
  • Dua remaja warga Myanmar diselamatkan dan dianggap mangsa sindiket
  • Serbuan berdasarkan maklumat risikan dengan kerjasama unit siasatan, menyita barang bukti dan menjalankan siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!