Enam kali dibersihkan, warga emas masih degil kumpul sampah di rumah

MBI melaksanakan operasi bersepadu untuk menghapus kacau ganggu oleh seorang penghuni di Taman Bersatu, Simpang Pulai. Foto MBI
MBI melaksanakan operasi bersepadu untuk menghapus kacau ganggu oleh seorang penghuni di Taman Bersatu, Simpang Pulai. Foto MBI
A
A
A

IPOH - Enam operasi pembersihan serta tiga tindakan mahkamah, masih gagal mengubah sikap seorang penghuni premis di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini sehingga Majlis Bandaraya Ipoh(MBI) sekali lagi melaksanakan operasi bersepadu penghapusan kacau ganggu pada Khamis.

Pemilik premis, seorang wanita warga emas berusia 69 tahun, didapati terus mengumpul dan menyimpan barangan kitar semula di kawasan halaman rumah teres satu tingkat secara tidak terkawal.

Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Mohd Saleh berkata, keadaan itu bukan sahaja mencetuskan kacau ganggu persekitaran, malah berpotensi menjadi tempat pembiakan vektor pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas dan tikus yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.

Sebanyak lima lori berkapasiti tujuh tan bersama sebuah jengkaut digerakkan dengan kekuatan 27 anggota pembersihan. Foto MBI
Sebanyak lima lori berkapasiti tujuh tan bersama sebuah jengkaut digerakkan dengan kekuatan 27 anggota pembersihan. Foto MBI

"Rekod MBI menunjukkan sejak 2016, sebanyak enam operasi pembersihan telah dilaksanakan di premis berkenaan, selain pemilik turut dikenakan tiga tindakan mahkamah melibatkan hukuman denda serta perintah mahkamah.

"Namun begitu, semua tindakan tersebut gagal menghalang pemilik daripada mengulangi perbuatan sama," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, dalam operasi terbaharu ini, sebanyak lima lori berkapasiti tujuh tan bersama sebuah jengkaut digerakkan dengan kekuatan 27 anggota pembersihan.

Katanya, pelbagai barangan termasuk plastik, kertas, besi dan kayu dipindahkan sepenuhnya dan operasi berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga jam tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

"MBI tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang terus mengabaikan arahan sehingga mengancam kesihatan awam dan keselamatan persekitaran. Tindakan penguatkuasaan ini adalah demi kepentingan bersama," katanya.

Pelbagai barangan termasuk plastik, kertas, besi dan kayu dipindahkan sepenuhnya dan operasi berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga jam tanpa sebarang insiden tidak diingini. Foto MBI
Pelbagai barangan termasuk plastik, kertas, besi dan kayu dipindahkan sepenuhnya dan operasi berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga jam tanpa sebarang insiden tidak diingini. Foto MBI

Operasi bersepadu itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Zamakhshari, penglibatan agensi kerajaan berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sangat dialu-alukan bagi merangka penyelesaian jangka panjang secara holistik bagi memastikan isu seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.

"MBI kekal komited dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup warga Ipoh sentiasa terpelihara melalui penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan berterusan," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • MBI melaksanakan operasi bersepadu untuk menghapus kacau ganggu oleh seorang penghuni di Taman Bersatu, Simpang Pulai
  • Pemilik premis, wanita warga emas 69 tahun, mengumpul barangan kitar semula secara tidak terkawal
  • Keadaan premis berpotensi menjadi tempat pembiakan vektor pembawa penyakit
  • Enam operasi pembersihan dan tiga tindakan mahkamah sejak 2016 gagal menghalang pemilik daripada mengulangi perbuatan
  • Operasi terbaharu melibatkan lima lori dan 27 anggota pembersihan, menjadikan kawasan bersih dalam tiga jam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!