Rombakan Kabinet buka ruang kepimpinan baharu

ROMBAKANKabinet Kerajaan Madani diumumkan pada Selasa menandakan satu langkah strategik penting dalam pentadbiran negara.
Ia bukan sekadar menggantikan jawatan kosong, tetapi memberi peluang kepada pemimpin baharu dan timbalan menteri yang menonjol untuk membuktikan kemampuan di peringkat kementerian penuh.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, dilantik Menteri Belia dan Sukan, menggantikan Hannah Yeoh yang kini mengetuai portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan pelantikan ini memberi nafas baharu dalam merangka agenda pembangunan belia dan sukan di peringkat nasional.
Enam timbalan menteri dinaikkan pangkat bagi mengisi kekosongan selepas peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli (Kementerian Ekonomi) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam), membuka ruang bagi pemimpin baharu menggalas tanggungjawab penting.
Antara pelantikan utama termasuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke Kementerian Ekonomi, Datuk Mustafa Sakmud ke portfolio Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), dan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ke Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Peralihan ini memperlihatkan pendekatan pragmatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan Kabinet bukan sahaja lengkap dari segi kuantiti, tetapi mampu berfungsi sebagai pasukan fokus menangani pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam, pembangunan wilayah dan kesejahteraan rakyat.
Pelantikan Dr Zulkifli Hassan sebagai menteri penuh di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula menekankan kepentingan pembangunan moral dan pengurusan hal ehwal agama secara lebih menyeluruh.
Penganalisis politik menegaskan rombakan ini bukan sekadar pertukaran portfolio, tetapi ujian keupayaan Kabinet baharu menghadapi cabaran nasional.
Ia juga menghantar isyarat jelas bahawa kerajaan Madani mengutamakan kesinambungan, kepelbagaian kepimpinan dan memberi tanggungjawab besar kepada pemimpin baharu untuk memacu agenda nasional yang progresif dan inklusif.
Menurut Perdana Menteri, langkah ini bertujuan memastikan Kabinet bekerja sebagai satu pasukan yang menumpukan perhatian kepada pembangunan negara dan penyelesaian isu rakyat secara menyeluruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

