Rombakan Kabinet: Kesinambungan dasar bina negara makmur, stabil - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi. Foto fail Bernama
Ahmad Zahid Hamidi. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesinambungan dasar serta semangat kebersamaan dalam Kabinet menjadi kunci utama bagi memastikan matlamat membina negara yang lebih makmur, stabil dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia dapat direalisasikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan terus memperkukuh pentadbiran Kerajaan Madani dalam mencapai matlamat itu, khususnya ketika negara berdepan dengan cabaran ekonomi global dan tuntutan pembangunan yang semakin kompleks.

"Insya-ALLAH, dengan iltizam yang diperbaharu dan pasukan Kabinet yang diperkukuh, saya doakan agar kita dapat terus melangkah ke hadapan dan bersama-sama memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata, penyusunan semula Kabinet yang diumumkan Anwar itu ialah langkah untuk terus memperkukuh tadbir urus, melancarkan pelaksanaan dasar serta memastikan keberkesanan kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat dan masa depan negara.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.

Ahmad Zahid secara khusus mengucapkan tahniah kepada barisan menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN) yang dilantik ke dalam Kabinet, iaitu Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri).

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Mohd Shahar Abdullah yang menerima amanah baharu sebagai Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohamad Alamin (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) serta Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air).

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada menteri-menteri yang telah menamatkan perkhidmatan di kementerian masing-masing, sambil menegaskan bahawa sumbangan dan legasi mereka akan terus menjadi asas penting untuk diperkukuh oleh kepimpinan baharu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kesinambungan dasar dan semangat kebersamaan dalam Kabinet penting untuk membina Malaysia yang makmur, stabil dan sejahtera
  • Rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertujuan memperkukuh pentadbiran Kerajaan Madani menghadapi cabaran ekonomi global
  • Penyusunan semula Kabinet adalah untuk memperkukuh tadbir urus dan memastikan keberkesanan kerajaan memenuhi keperluan rakyat
  • Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri dengan pertukaran portfolio dan lantikan baharu
  • Ahmad Zahid Hamidi mengucap tahniah kepada menteri dan timbalan menteri baru serta menghargai sumbangan menteri yang menamatkan perkhidmatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!