Kabinet baharu: 28 menteri dan timbalan menteri bertukar portfolio

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperlihatkan senarai jemaah menteri baharu Kerajaan MADANI ketika sidang media khas Pengumuman Anggota Kabinet Baharu di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperlihatkan senarai jemaah menteri baharu Kerajaan MADANI ketika sidang media khas Pengumuman Anggota Kabinet Baharu di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan 28 menteri dan timbalan menteri yang merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau perlu membuat sedikit penyesuaian susulan beberapa kekosongan dalam Kabinet dan sekali gus memberi tumpuan bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan masalah rakyat.

"Seperti mana sudah sedia maklum, ada beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri dan ada keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian supaya Kabinet bekerja sebagai satu pasukan," katanya pada Selasa.

Bagi lantikan baharu Menteri, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustafa Sakmud dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Dr Zulkifli Hasan turut dinaikkan sebagai menteri penuh meggantikan penyandangnya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sementara Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh Tseow Suan bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menggantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir bertukar portfolio sebagai Menteri Ekonomi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani bertukar portfolio sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggantikan kekosongan ditinggalkan penyandangnya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang telah tamat tempoh penggal kedua sebagai Senator.

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri R Ramanan dilantik Menteri Sumber Manusia (KESUMA) menggantikan Steven Sim Chee Keong yang mengisi kekosongan ditinggalkan Ewon Benedick sebagai Menteri KUSKOP sementara Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup pula sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nik Nazmi Nik Ahmad pada Mei lalu.

Bagi jawatan Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong bertukar portfolio sebagai Timbalan Menteri Kewangan; Timbalan KESUMA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sebagai Timbalan Menteri PETRA.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Timbalan Menteri Kesihatan; Datuk Lukanisman Awang Sauni sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala Timbalan Menteri KBS, Adam Adli Abd Halim pula sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib menggantikan tempat Lukanisman, Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri KUSKOP, Timbalan Menteri NRESS, Datuk Seri Huang Tiong Sii sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi serta Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara,

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah sebagai Timbalan Menteri Ekonomi; Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol sebagai Timbalan Menteri KBS serta Syed Ibrahim Syed Noh sebagai Timbalan Menteri NRESS.

Anwar berkata, upacara angkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan berlangsung jam 10 pagi di Istana Negara pada Rabu diikuti mesyuarat Jemaah Menteri pada 2.30 petang.

 

 

Ringkasan AI

  • Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan melibatkan 27 menteri dan timbalan menteri dengan pertukaran portfolio dan lantikan baharu
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyesuaian Kabinet untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat
  • Penyesuaian dibuat susulan beberapa kekosongan dalam Kabinet untuk memastikan kerja sebagai satu pasukan
  • Datuk Mustafa Sakmud dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)
  • Datuk Seri R Ramanan dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia menggantikan Steven Sim Chee Keong

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!