Keputusan PM demi kepentingan negara - Dr Zaliha

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan keyakinannya bahawa setiap keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berlandaskan kepentingan negara.

Beliau juga menyifatkan rombakan Kabinet satu keperluan memastikan pentadbiran kerajaan Madani kekal stabil, berfungsi dengan berkesan dan terus fokus kepada agenda reformasi yang telah digariskan.

Sehubungan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam kerajaan Madani.

Dr Zaliha dalam kenyataannya pada Selasa turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh hampir dua tahun beliau menerajui portfolio itu.

Menurutnya, dalam tempoh berkenaan, pelbagai isu legasi yang berlarutan berjaya ditangani secara berperingkat, termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro.

“Melalui pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI), kerajaan Madami di Wilayah Persekutuan juga telah berjaya menoktahkan miskin tegar, sekali gus membuktikan pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data mampu membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, di Wilayah Persekutuan Labuan, fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus digerakkan menerusi inisiatif pelancongan dan kebolehhubungan.

Ia termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan.

Dalam pada itu, Dr Zaliha mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu dan berharap agenda pembangunan Wilayah Persekutuan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Kerajaan Madani yang baharu dilantik dan menegaskan akan terus memberikan sokongan penuh kepada agenda Madani selain dasar-dasar reformasi yang sedang serta akan dilaksanakan demi negara dan rakyat.

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan keyakinan kepada keputusan Perdana Menteri demi kepentingan negara
  • Rombakan Kabinet dilihat perlu untuk kestabilan kerajaan Madani
  • Dr Zaliha mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)
  • Beliau berjaya menangani isu kartel bazar dan membasmi kemiskinan tegar melalui Program Usaha Jaya Insan di Wilayah Persekutuan
  • Dr Zaliha mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh sebagai Menteri baharu dan berharap pembangunan Wilayah Persekutuan diteruskan demi kesejahteraan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!