'Adik cakap dengar suara ejek-ejek dia' – Isteri mangsa tetak

Suspek berjaya ditahan di rumahnya selepas dipujuk anggota polis. Gambar kecil: Marliana
Suspek berjaya ditahan di rumahnya selepas dipujuk anggota polis. Gambar kecil: Marliana
A
A
A

ALOR SETAR – “Adik cerita pada polis, katanya dia nak keluar mandi, lepas itu dia nampak macam suami saya panggil dia. Dia kata ada suara ejek-ejek dia, macam orang perli.”

Demikian kata Marliana Awang, 39, isteri kepada Nasir Md Nanyan, 45, yang maut dalam kejadian tragis di Kampung Pida 3, Jerlun pada malam Jumaat.

Menurut Marliana, suspek yang juga adik ketiganya, dipercayai mengalami gangguan perasaan dan pernah menunjukkan tanda-tanda halusinasi serta kemurungan.

"Kalau orang kampung datang ke rumah, dia lari masuk bilik. Dia tak duduk luar. Dia bercakap seorang diri. Orang kampung pun tak kenal dia sangat," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada Sabtu.

Tambah Marliana, suspek juga pernah mengamuk sebelum ini namun tidak mengganggu orang kampung secara langsung.

Menurutnya, suspek lebih banyak menyendiri dan hanya berinteraksi dengan ahli keluarga terdekat.

Jelas Marliana, suspek pernah mendapatkan rawatan susulan di Hospital Alor Setar, namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dia tidak lagi hadir ke sesi rawatan dan enggan mengambil ubat.

“Mak yang pergi ambil ubat, tapi dia tak makan. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Covid-19, dia mula berubah. Sebelum tu, dia baik-baik saja,” katanya lagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan di kawasan sawah berhampiran rumahnya, dipercayai akibat ditetak oleh suspek dalam satu pergaduhan.

Artikel Berkaitan:

Polis menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 7.05 malam dan berjaya menahan suspek tidak lama selepas kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek telah direman enam hari bagi membantu siasatan.

Ringkasan AI

  • Adik kepada isteri mangsa mengalami gangguan perasaan dan menunjuk tanda-tanda halusinasi serta kemurungan
  • Suspek sering menyendiri dan tidak mesra dengan jiran-jiran di kampung
  • Suspek tidak mengikuti rawatan atau mengambil ubat sejak beberapa bulan yang lalu
  • Perubahan tingkah laku suspek bermula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
  • Mangsa ditemui maut dengan kepala terputus dan suspek telah ditahan polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!