Suspek tetak abang ipar hingga putus kepala direman
Majistret Siti Masliza Md Ali telah membenarkan permohonan tersebut sehingga 6 November ini.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Suspek yang dipercayai membunuh abang iparnya dalam satu kejadian tragis di Kampung Pida 3, Jerlun pada malam Jumaat direman enam hari bagi membantu siasatan.
Permohon reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu telah dibuat di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Sabtu.
Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali telah membenarkan permohonan tersebut sehingga 6 November ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan hasil ujian urin suspek didapati negatif dadah.
Menurutnya, mayat mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini bagi tujuan bedah siasat.
“Bedah siasat terhadap mangsa dijalankan pagi ini dan keputusan awal punca kematian mangsa akan diperoleh dalam tempoh terdekat.
“Saya turut menasihati orang awam tidak memviralkan gambar dan video kejadian supaya tidak mengganggu siasatan polis dan menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya ketika dihubungi media pada Sabtu.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui maut dengan kepala terputus daripada badan di dalam kawasan sawah padi berhampiran rumahnya, dalam kejadian pergaduhan di Kampung Pida 3.
Polis menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 7.05 malam pada Jumaat memaklumkan kejadian berkenaan.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis belum dapat mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ringkasan AI
- Suspek berusia 38 tahun direman enam hari untuk membantu siasatan pembunuhan abang ipar di Kampung Pida 3, Jerlun
- Permohonan reman diluluskan di Mahkamah Majistret Alor Setar sehingga 6 November
- Ujian urin suspek negatif dadah
- Mayat mangsa berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat
- Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

