Kes tetak abang ipar: Suspek masih pegang parang ketika ditahan

JERLUN – “Ketika ditahan, suspek masih memegang parang sebelum akhirnya menyerah diri selepas kira-kira 15 minit dipujuk,” kata Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berhubung kejadian tragis di Kampung Pida 3 di sini pada petang Jumaat.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui maut dengan kepala terputus daripada badan di kawasan sawah padi berhampiran rumahnya selepas berlaku pergaduhan.
Mohd Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 7.05 malam memaklumkan insiden berkenaan sebelum anggota polis segera bergegas ke lokasi.

“Apabila polis tiba di tempat kejadian, suspek berada di rumahnya bersama sebilah parang di dalam bilik. Selepas kira-kira 15 minit dipujuk, suspek akhirnya menyerah diri kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita di lokasi.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di dalam sawah padi berhampiran rumah suspek.
“Kepala mangsa didapati terputus daripada badan dan terdapat beberapa kesan tetakan lain pada tubuh mangsa,” katanya lagi.
Tambah beliau, parang yang digunakan dalam kejadian itu berukuran kira-kira 30 sentimeter turut dirampas, dan suspek ditahan pada jam 8 malam selepas berjaya dipujuk untuk menyerah diri.
“Siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun, manakala mangsa merupakan abang ipar kepadanya. Kedua-duanya bekerja sebagai petani sawah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Jarak antara rumah suspek dan lokasi mayat dijumpai adalah kira-kira 30 meter,” ujarnya.
Mohd Radzi berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis belum dapat mengenal pasti punca sebenar pergaduhan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala ujian urin terhadap suspek masih belum dijalankan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. Suspek pula akan direman di Mahkamah Alor Setar pada Sabtu.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat atau spekulasi tidak sahih berkaitan kejadian ini sehingga siasatan selesai,” katanya.
Difahamkan, mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui maut dengan kepala terputus di kawasan sawah padi
- Pergaduhan antara dua lelaki di Kampung Pida 3, suspek ditahan dengan parang di tangan
- Suspek berusia 38 tahun, merupakan abang ipar kepada mangsa yang juga petani sawah
- Siasatan masih berjalan, kedua-duanya tanpa rekod jenayah, dan jarak rumah suspek dengan lokasi mayat adalah 30 meter
- Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat, suspek akan direman dan motif masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

