Saksi jumpa diari Zara Qairina yang dikoyak dalam tong sampah

Saksi inkues yang ke-35 mengaku di Mahkamah Koroner bahawa dia pernah temui diari Zara Qairina Mahathir yang dikoyakkan di dalam tong sampah.
Saksi inkues yang ke-35 mengaku di Mahkamah Koroner bahawa dia pernah temui diari Zara Qairina Mahathir yang dikoyakkan di dalam tong sampah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Saksi inkues yang ke-35 mengaku di Mahkamah Koroner bahawa dia pernah temui diari Zara Qairina Mahathir yang dikoyakkan di dalam tong sampah.

Saksi yang juga kanak-kanak ke-26 memberitahu mahkamah ketika memberi keterangannya secara 'in camera' di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di di sini, pada Khamis.

Peguam, Rizwandean M Borhan berkata, saksi menggambarkan Zara Qairina sebagai pelajar yang sopan, jarang marah dan tidak pernah dilihat bermasalah dengan sesiapa.

"Saksi mengakui pernah menjumpai diari lama Zara yang dikoyak di dalam tong sampah. Koyakan diari lama tersebut diserahkan kepada cikgu sekolah.

"Saksi turut mengesahkan bahawa guru dan penyelia asrama yang mengemaskan barang-barang Zara setelah Zara meninggal dunia," katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu.

Sebelum itu, Rizwandean berkata, saksi memberitahu bahawa sebelum jam 10 malam 15 Julai lalu terdapat pelajar junior yang mengesyaki Zara Qairina mencuri kad bank milik seorang pelajar junior lain.

"Menurut saksi, dia dan ahli dorm yang lain akan membuat ’spot check’ terhadap barang-barang Zara. Seingat saksi, kira-kira enam pelajar terlibat termasuk dirinya terlibat dalam spot check.

"Saksi mengatakan pada malam itu persiapan spot check telah dibuat untuk mencari kad bank yang hilang. Seorang pelajar junior dari dorm Zara meminta saksi memerhati sekiranya Zara akan dipanggil ke bilik dorm sebelah," katanya.

Peguam itu berkata, saksi memberitahu dia ada melihat Zara Qairina bergerak balik ke dormnya namun tidak sempat masuk kerana remaja itu telah dipanggil oleh senior ke dorm sebelah.

Artikel Berkaitan:

"Saksi mendengar suara pelajar senior memanggil Zara dan berkata 'Zara, sini kau'. Saksi mengesahkan suara yang memanggil Zara adalah suara senior disebabkan tiada batch saksi tiada suara sebegitu.

"Semasa Zara di dorm sebelah, saksi dan ahli dorm yang lain membuat spot check ke atas beg, loker dan seluar Zara. Saksi menyatakan pada mulanya dia membuat pemeriksaan di loker Zara dan tidak menjumpai apa-apa manakala tiga lagi pelajar junior memeriksa beg Zara.

"Salah seorang ahli dorm yang telah memeriksa beg kemudian memeriksa poket seluar Zara. Hasil spot check tersebut, beberapa barang telah dijumpai iaitu dua pin Jalur Gemilang yang dijumpai di beg dan poket seluar Zara," katanya.

Menurut Rizwandean, dalam keterangan saksi turut menyatakan selepas pemeriksaan itu, seorang pelajar junior menemui sekeping surat yang dikoyak daripada buku latihan di atas katil Zara Qairina.

"Surat tersebut dipercayai surat peribadi Zara yang mana saksi tidak mengetahui kandungan surat tersebut," katanya.

Katanya lagi, saksi memberitahu bahawa dia juga dimaklumkan bahawa seorang pelajar junior kehilangan wang tunai RM 21 dan mendakwa melihat jumlah itu dalam dompet Zara Qairina.

"Sekitar jam 11 malam, Zara kembali ke bilik dorm dalam keadaan emosi dan menangis, menjerit 'aku nda curi bah, sial'.

"Sepanjang mengenali Zara, saksi tidak pernah melihat Zara mengalami gangguan emosi seperti malam tersebut," katanya.

Tambah beliau, dalam keterangan saksi menyebut terdapat pelajar senior yang sering menggunakan kata-kata kasar seperti 'bodoh' dan 'sial' semasa berinteraksi dengan pelajar lain, menunjukkan suasana kasar dalam kalangan pelajar senior di asrama.

Rizwandean bersama rakan sepasukannya iaitu Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.

Ringkasan AI

  • Saksi inkues ke-35 menemui diari Zara Qairina yang koyak dalam tong sampah
  • Zara dikenali sebagai pelajar yang sopan dan tidak bermasalah
  • Selepas Zara meninggal, barang-barangnya dikemas oleh guru dan penyelia asrama
  • Pemeriksaan dilakukan ke atas barang-barang Zara kerana dicurigai mencuri kad bank
  • Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!