[VIDEO] Saksi tahu Zara Qairina diejek pelajar lain kerana mahu jadi Badar
KOTA KINABALU - Saksi ke-32 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia mengetahui mengenai ejekan pelajar lain terhadap pelajar Tingkatan Satu itu yang bersemangat mahu menjadi Badar (pengawas).
Saksi yang merupakan kanak-kanak ke-23 memberi keterangannya secara in camera di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner di sini pada Selasa.
Peguam, Rizwandean M Borhan berkata, saksi yang juga seorang Badar merupakan pelajar senior yang tinggal di blok asrama sama dengan Zara Qairina dan mengenali arwah sejak April lalu.
“Menurut saksi, tanggungjawab ahli Badar ialah mengurus program dakwah termasuk aktiviti surau dan kegiatan keagamaan. Tugas mereka termasuk mengemas surau serta menganjurkan Kem Bistari Solat.
“Selain itu, ahli Badar juga bertugas menyoal alasan pelajar yang tidak menunaikan solat berjemaah. Jika pelajar tiada sebab kukuh, nama mereka akan dicatat,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Selasa.
Rizwandean berkata, saksi mengetahui mengenai ejekan pelajar lain yang memanggil Zara dengan gelaran ‘Sok Sok Badar’ kerana rajin mencatat nama pelajar yang tidak menunaikan solat, walaupun tiada arahan untuk berbuat demikian.

“Saksi hanya berdiam dan tidak menegur Zara supaya berhenti mencatat nama,” katanya.
Tambahnya, saksi mengetahui daripada rakan-rakan bahawa Zara mempunyai diari, namun tidak pernah melihat isi kandungannya.
“Selepas hari kejadian pada 16 Julai 2025, seorang guru menunjukkan buku diari Zara kepada saksi melalui telefon bimbit di surau. Tujuan guru berkenaan ialah untuk menunjukkan pandangan Zara terhadap saksi.
“Saksi berkata dia teruja dan gembira membaca kandungan diari tersebut. Ada beberapa guru lain turut berada di tempat itu. Saksi juga mendengar daripada rakan Zara bahawa arwah menjadikan saksi sebagai idola,” jelasnya.
Menurut peguam, saksi memaklumkan kali terakhir dia melihat Zara ialah sekitar jam 2 petang pada 15 Julai lalu di surau sekolah.
“Pada 16 Julai sekitar jam 3 pagi, saksi terbangun oleh bunyi jam loceng. Selepas itu, dia mendapati dua rakannya keluar ke koridor dalam keadaan kecoh. Saksi turut keluar dan nampak tubuh Zara di bawah bangunan asrama.
“Saksi bersama beberapa pelajar senior diarahkan mengalihkan Zara dari kawasan longkang ke tempat berhampiran tangga. Selepas kejadian, saksi mendengar tentang kes kecurian yang dikaitkan dengan Zara pada malam 15 Julai, melibatkan kad pengenalan dan kad bank,” katanya.
Rizwandean menambah, saksi tidak mengetahui kejadian sebenar bagaimana Zara ditemui tidak sedarkan diri kerana dia sedang tidur pada waktu itu dan tidak pernah mendengar sebarang aduan daripada Zara mengenai dibuli oleh sesiapa.
Katanya lagi, bagi Mesyuarat Aras (MA), pelajar senior biasanya akan berjumpa dengan pelajar satu tingkatan tertentu bergantung kepada kumpulan pelajar yang didapati melakukan kesalahan.
Peguam Rizwandean Shahlan Jufri bersama pasukannya, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Ringkasan AI
- Saksi ke-32 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir menyedari ejekan pelajar lain terhadap Zara yang ingin menjadi Badar
- Saksi yang juga Badar mengenali Zara sejak April dan menginap di blok asrama yang sama
- Saksi mengetahui Zara dijadikan bahan ejekan kerana rajin mencatat nama pelajar yang tidak solat tanpa arahan
- Saksi terakhir melihat Zara pada 15 Julai di surau sebelum menemui tubuh Zara pada awal pagi 16 Julai
- Saksi tidak mengetahui kejadian sebenar kematian Zara dan tidak pernah mendengar Zara mengadu tentang dibuli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
