Saksi beritahu emosi Zara Qairina dilihat seperti terganggu selepas keluar dari bilik lain

Pasukan peguam ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Pasukan peguam ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Saksi ke-36 inkues memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia nampak Zara Qairina Mahathir seperti dalam gangguan emosi selepas keluar dari bilik lain untuk masuk ke biliknya.

Perkara itu didedahkan ketika saksi kanak-kanak ke-27 itu memberikan keterangannya secara 'in camera' di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di sini pada Khamis.

Peguam Joan Goh berkata, saksi merupakan pelajar Tingkatan Satu dan Zara Qairina adalah kawan biasanya di mana mereka tinggal di dorm yang sama.

"Pada 15 Julai 2025, pada waktu malam semasa saksi berada di dalam dorm, dia ada melihat Zara dan ada mendengar suara dari bilik sebelah yang menyuruh Zara datang ke bilik lain. Kemudian baru saksi tahu bahawa Zara disyaki mencuri kad bank seorang pelajar dan telah dipanggil berjumpa dengan senior Tingkatan Empat di bilik asrama sebelah. 

"Apabila mengetahui Zara telah dituduh mencuri, saksi bersama kawan dorm lain telah memeriksa beg sandang warna hitam milik Zara. Salah seorang dari mereka menjumpai satu pin jalur gemilang di bahagian poket di hadapan beg Zara yang bertulis nama namun saksi tidak pasti nama apa. Mereka juga memeriksa loker Zara namun tidak menjumpai apa-apa. 

"Selepas keluar dari bilik sebelah, semasa Zara masuk ke biliknya sekitar jam 11 malam, saksi ada nampak Zara seperti dalam gangguan emosi. Zara berlari masuk ke dalam dorm, dia mengambil bantal dan menutup loker. Selepas itu, Zara terus baring di lantai sambil menangis di depan almari dia dan menjerit sambil bercakap 'aku nda curi bah," katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu.

Katanya lagi, sebelum saksi tertidur, Zara Qairina masih di atas lantai dan turut berkata, itu adalah kali pertama dia melihat Zara Qairina seperti itu. 

"Zara dipanggil oleh senior Tingkatan Empat kali pertama pada 15 Julai lalu. Saksi tidak mempunyai apa-apa konflik dengan Zara. Saksi tidak pasti sama ada Zara mempunyai konflik dengan pelajar lain di sekolah tersebut dan saksi tidak pernah nampak Zara dimarah atau diganggu oleh pelajar lain.

"Zara tidak pernah mengadu kepada saksi tentang masalah persendirian atau berkonflik dengan sesiapa. Zara juga tidak pernah mengadu kepada saksi tentang gangguan semasa di asrama seperti buli, tekanan belajar dan keletihan. 

Artikel Berkaitan:

"Saksi pernah melihat Zara menulis di dalam diari beliau yang berwarna ungu dan hijau. Zara menulis diari di dalam dorm kadang-kadang petang atau kadang-kadang pada waktu malam. Berkenaan diari Zara, saksi ingat berkenaan keinginan Zara untuk menjadi Badar (pengawas surau)," katanya.

Joan dan rakan sepasukannya Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang dituduh dalam kes berkaitan Zara Qairina dan mereka menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.

 

Ringkasan AI

  • Saksi melihat Zara Qairina dalam keadaan emosi setelah keluar dari bilik lain di dorm
  • Zara disyaki mencuri kad bank pelajar dan dipanggil berjumpa dengan senior Tingkatan Empat
  • Saksi dan kawan-kawan periksa beg Zara, temui pin jalur gemilang tetapi tidak ada bukti pencurian lain
  • Zara menangis dan menjerit "aku nda curi bah" setelah kembali ke biliknya
  • Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama dan meninggal di hospital keesokan harinya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!