Inkues Zara Qairina: Saksi sahkan Zara sudah lama jadi sasaran pelajar senior

KOTA KINABALU – Saksi ke-30 dalam Inkues Zara Qairina Mahathir mengesahkan bahawa pelajar Tingkatan Satu itu sudah lama menjadi sasaran kumpulan pelajar senior di sekolah berasrama tempat mereka belajar.
Saksi yang merupakan kanak-kanak ke-21 memberi keterangannya secara in camera di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, saksi merupakan pelajar junior yang tinggal di blok sama dengan Zara Qairina, dan mengenali Allahyarham dengan rapat, namun tidak sehingga menjadi kawan akrab.
“Saksi tidak pasti sama ada Zara mempunyai konflik atau dibuli oleh mana-mana pelajar sekolah. Bagaimanapun, saksi mengesahkan bahawa memang wujud kumpulan pelajar senior yang sudah lama ‘mengintai’ (menyasarkan) Zara,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Menurut Mohd Syarulnizam, saksi ada mendengar khabar angin bahawa pada malam 15 Julai lalu, Zara Qairina didakwa telah ‘diumpan masuk’ ke sebuah bilik dorm, di mana remaja itu dimarahi, dijerit dan dimaki oleh beberapa pelajar lain.
“Saksi menyatakan, cerita itu turut dikaitkan dengan dakwaan kecurian barang milik pelajar lain sehingga beg dan loker Zara diselongkar.
“Saksi turut mendengar antara ayat yang digunakan semasa insiden itu adalah ‘Mencuri kan? Best ka mencuri?’,” katanya.
Saksi juga memaklumkan bahawa beberapa bulan sebelum Julai 2025, Zara pernah dipanggil oleh pelajar senior untuk masuk ke bilik dorm lain. Walau bagaimanapun, saksi tidak pasti apa yang berlaku di dalam bilik tersebut, namun ada terdengar Zara dimarahi.
Selain itu, saksi mengakui pernah mengambil buku milik Zara dari dalam begnya tanpa pengetahuan arwah dan membaca buku tersebut atas arahan seorang pelajar lain yang tinggal di dorm sama.
“Namun, saksi tidak mengingati siapa pelajar yang menyuruhnya berbuat demikian,” ujar peguam itu.
Dalam keterangannya, saksi juga memberitahu bahawa Zara pernah mengadu kepadanya tentang gangguan daripada seorang pelajar senior lelaki.
“Saksi menyatakan bahawa Zara pernah berkata, ‘Wei tolong ba aku, aku kena kacau’, yang merujuk kepada seorang pelajar senior lelaki. Saksi teringat satu kejadian di mana dia berjalan bersama Zara dan terserempak dengan pelajar lelaki itu.
“Pelajar tersebut memanggil, ‘Oi Zara, Zara sini kau’. Zara berkata, ‘Tolong aku, tolong aku’. Saksi kemudian memberanikan diri untuk berkata, ‘Jangan ba mengete (menggedik) sama pelajar junior, sebab kau sudah ada girlfriend’,” jelasnya.
Mohd Syarulnizam hadir bersama rakan sepasukannya, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan Jame selaku peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina, Noraidah Lamat, yang merupakan pihak berkepentingan dalam inkues ini.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Ringkasan AI
- Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu, sudah lama menjadi sasaran kumpulan pelajar senior di sekolah berasrama
- Saksi inkues, kanak-kanak ke-21, memberi keterangan secara in camera mengenai kejadian yang melibatkan Zara
- Wujud kumpulan pelajar senior yang sudah lama menargetkan Zara
- Zara diduga dimarahi, dijerit dan dimaki oleh beberapa pelajar lain kerana tuduhan mencuri
- Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai sebelum disahkan meninggal dunia esok harinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
