Pegawai bomba, adik dikhuatiri lemas ketika berkelah di Pantai Kandis

BACHOK – [DIKEMAS KINI] Dua beradik termasuk seorang pegawai bomba dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bayan Baru, Pulau Pinang, dikhuatiri lemas ketika berkelah bersama keluarga di Pantai Kandis berhampiran muara Sungai Gali di sini, petang Selasa.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, anggota bomba terbabit, Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32, dan adiknya, Ahmad Nurruddin, 21, ke pantai itu bersama kira-kira 20 ahli keluarga untuk beriadah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, ketika kejadian, beberapa ahli keluarga mandi sebelum Ahmad Nurruddin dan anak saudara, Mohd Ali Al-Imran Mohd Ezad, 12, dipercayai lemas.

Katanya, melihat keadaan itu, bapa kanak-kanak terbabit, Mohd Ezad Abu Hassan, 40, dan Ahmad Badrul Naim bergegas ke pantai cuba menyelamatkan kedua-duanya.
“Bapa kanak-kanak itu berjaya menyelamatkan anaknya dan mereka dapat naik ke darat.
“Ahmad Badrul Naim yang cuba menyelamatkan Ahmad Nurruddin pula hilang dan kedua-dua beradik ini dikhuatiri lemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Khairul Fais Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.40 petang dan bergegas ke lokasi bersama 10 anggota.
“Sampai di lokasi, bomba mendapati keadaan ombak besar dengan air pasang.
“Pencarian dilakukan secara di permukaan dan bantuan lapan PPDA Pengkalan Chepa turut dimohon,” katanya.
Ringkasan AI
- Dua beradik termasuk seorang pegawai bomba dari Pasukan Penyelamat di Air Bayan Baru, Pulau Pinang, dikhuatiri lemas di Pantai Kandis
- Berada di pantai untuk berkelah bersama kira-kira 20 ahli keluarga
- Seorang kanak-kanak dan seorang dewasa dipercayai lemas, bapa kanak-kanak berjaya menyelamatkan anaknya
- Ahmad Badrul Naim cuba menyelamatkan adiknya tetapi kedua-duanya dikhuatiri lemas
- Operasi pencarian dilakukan oleh bomba dengan bantuan PPDA Pengkalan Chepa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

