Saksi dedah situasi mencurigakan di tandas asrama sebelum Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri

KOTA KINABALU – Saksi ke-31 Inkues Kematian Zara Qairina Mahathir mengesahkan bahawa terdapat seorang pelajar yang dilihat seolah-olah sedang mengurung diri di dalam tandas sekitar jam 2.30 pagi.
Saksi yang merupakan kanak-kanak ke-22 memberikan keterangannya secara in camera di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.
Peguam Joan Goh berkata, saksi mengenali Allahyarham Zara Qairina tahun ini, namun tidak rapat. Mereka pernah berbual seketika mengenai ganti solat dan menu makanan di dewan makan.
“Saksi menyatakan dia bangun sekitar jam 2.35 pagi untuk mandi lebih awal bagi mengelakkan kesesakan penggunaan tandas. Saksi menuju ke tandas di tingkat tiga, iaitu satu aras dengan biliknya.
“Saksi cuba membuka pintu tandas nombor satu yang bertutup, namun pintu itu tertolak semula seolah-olah ada individu sedang duduk menyandar di belakang pintu tersebut, seperti sedang mengurung diri kerana menghadapi masalah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Tambah beliau, saksi memerhatikan individu tersebut memakai baju sukan yang sama warna dengan rumah sukannya, namun ketika itu saksi tidak menyedari bahawa individu tersebut adalah Zara Qairina kerana tidak melihat wajahnya.
“Saksi tidak mendengar sebarang bunyi dari tandas itu dan memilih untuk masuk ke tandas lain,” jelasnya.
Menurut Joan lagi, ketika saksi sedang mandi, dia terdengar bunyi pintu tandas dibuka, seolah-olah ada individu keluar. Selepas selesai mandi, saksi mendapati pintu tandas yang dimaksudkan telah terbuka dan tiada sesiapa di dalam.
“Sewaktu saksi kembali ke bilik, dia hanya terdengar bunyi tapak kaki di tangga berhampiran tandas tetapi tidak melihat sesiapa di sekeliling. Kemudian, saksi masuk ke bilik, mengemas buku dan menyambung tidur sekitar jam 3 pagi. Saksi tidak mendengar apa-apa bunyi selepas itu,” katanya lagi.
Dalam keterangannya, saksi turut memaklumkan bahawa dia pernah melihat pelajar Tingkatan Satu diarahkan melakukan sesuatu oleh pelajar senior.
“Saksi jarang disuruh kerana lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik dan melakukan kerja sendiri,” jelasnya.
Joan bersama rakan sepasukannya, Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan, mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang dituduh dalam kes berkaitan kematian Zara Qairina dan menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Ringkasan AI
- Saksi ke-31 Inkues Kematian Zara Qairina melihat pelajar mengurung diri di dalam tandas pada jam 2.30 pagi
- Saksi memberi keterangan secara in camera di hadapan Hakim Koroner
- Saksi dan Allahyarham Zara Qairina pernah berbual tentang ganti solat dan menu makanan
- Saksi mendengar bunyi pintu tandas dibuka ketika sedang mandi tapi tidak melihat sesiapa
- Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
