[VIDEO] Lima sekeluarga maut: Suspek dipercayai bunuh isteri, ibu dan dua anak - Polis

A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang lelaki yang dipercayai hilang kawalan membawa kepada penemuan lima mayat dalam satu kejadian tragis di sebuah rumah di Taman Cerating Damai, di sini pada pagi Selasa.

Suspek berusia 32 tahun itu dipercayai mencederakan isteri, ibu kandung dan dua anak perempuannya sehingga maut, sebelum dia turut mencederakan diri sendiri serta ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu mengorbankan seorang wanita berusia 55 tahun, menantu berusia 28 tahun serta dua cucu perempuan masing-masing berusia tiga dan empat tahun.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden berkenaan daripada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga ahli keluarga dan tinggal di rumah tersebut.

Menurut beliau, ketika kejadian terdapat enam individu berada di kediaman itu, namun remaja terbabit tidak mengalami kecederaan selepas menyedari berlaku kekecohan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati suspek bersama isterinya dan dua kanak-kanak ditemui dalam sebuah bilik, manakala ibu suspek dijumpai di bahagian dapur.

"Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kelar di beberapa bahagian badan setiap mangsa yang dipercayai akibat objek tajam.

“Punca sebenar kematian masih menunggu laporan bedah siasat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya sebelum turut mencederakan diri sendiri dan ditemui maut di bilik sama.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, susulan itu, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, suspek dilaporkan baru berpindah ke rumah keluarganya kira-kira sebulan lalu selepas berhenti kerja di Selangor dan baharu memulakan pekerjaan di daerah ini sejak seminggu lalu.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk faktor masalah keluarga atau kewangan.

“Semakan awal juga mendapati tiada rekod masalah mental dikesan terhadap lelaki berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ringkasan AI

  • Lelaki berusia 32 tahun didakwa membunuh isteri, ibu kandung dan dua anaknya di Taman Cerating Damai, Kuantan
  • Kejadian tragis berlaku sekitar jam 7 pagi menyebabkan kematian lima orang
  • Polis diberitahu mengenai insiden oleh remaja lelaki 15 tahun yang merupakan ahli keluarga yang selamat
  • Suspek juga mencederakan diri sendiri dan ditemui maut
  • Siasatan polis termasuk merampas pisau dan menyiasat motif kejadian termasuk kemungkinan masalah keluarga atau kewangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!