[VIDEO] Inkues Zara Qairina: Saksi sahkan budaya pelajar senior tegur dengan sindiran, teguran keras

KOTA KINABALU – Saksi ke-29 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa beliau pernah mendengar pelajar lain mempersoalkan hasrat pelajar Tingkatan Satu itu untuk menjadi Badar, walaupun didakwa gemar mengeluarkan kata-kata kesat.
Saksi yang juga kanak-kanak ke-20 memaklumkan perkara itu dalam keterangannya secara 'in camera' di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan pada Khamis.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, saksi berkenaan merupakan pelajar junior yang tinggal di blok asrama sama, namun mendiami bilik dorm yang berlainan dengan Allahyarham Zara Qairina.
"Saksi berkata hubungan Zara dengan pelajar lain adalah baik sahaja, tetapi dia pernah mendengar seorang pelajar perempuan berkata tentang Zara, ‘inikah yang mahu jadi Badar itu, sudahlah kuat memaki’.
"Saksi menyatakan bahawa dia tidak pasti sama ada perkara tersebut benar atau sekadar gurauan. Dia juga tidak mengetahui sama ada kata-kata itu berbentuk serius atau bergurau,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Beliau berkata lagi, saksi turut mendengar pelajar senior menyindir Zara Qairina yang didakwa ‘gedik’ serta berlagak dengan pelajar lain.
“Saksi berkata dia pernah dengar pelajar senior menyebut, ‘Ei, siapalah tu yang getek-getek (gedik-gedik) sama putera tu’. Ada juga pelajar senior mengatakan Zara ‘suka berlagak’ kerana sewaktu minggu pertama di sekolah, dia dikatakan suka menjeling orang.
“Saksi turut mengesahkan wujud budaya dalam kalangan pelajar senior yang menegur dan memarahi pelajar junior di asrama melalui sindiran atau teguran keras yang sengaja menyebabkan pelajar junior berasa malu.
"Antara bentuk sindiran adalah dengan menyebut secara kuat tetapi tanpa menyatakan nama pelajar yang dituju," katanya.
Mohd Syarulnizam hadir bersama rakan peguamnya iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan Jame sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Ringkasan AI
- Saksi ke-29 dalam inkues kematian Zara Qairina mendengar pelajar lain mempersoalkan hasrat Zara menjadi Badar walaupun didakwa gemar mengeluarkan kata-kata kesat
- Saksi tersebut adalah pelajar junior yang tinggal di blok asrama yang sama tetapi berlainan dorm dengan Zara Qairina
- Hubungan Zara dengan pelajar lain adalah baik namun ada pelajar perempuan yang mempersoalkan hasratnya menjadi Badar sambil menyinggung tentang sikap Zara yang kuat memaki
- Saksi juga mendengar pelajar senior menyindir Zara dengan mendakwa dia gedik serta berlagak dengan pelajar lain
- Wujud budaya di kalangan pelajar senior yang menegur pelajar junior melalui sindiran atau teguran keras yang menyebabkan mereka berasa malu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
