Wanita maut nahas tiga kenderaan

RAWANG – Seorang wanita maut manakala dua individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 443.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Bukit Beruntung di sini pada Selasa.
Kejadian itu melibatkan sebuah lori treler membawa muatan kapur, sebuah kereta Honda City dan sebuah kereta BMW.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.33 pagi.
"Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
"Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.41 pagi dan komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu lori treler membawa muatan kapur, kereta Honda City dan kereta BMW,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, kemalangan itu mengakibatkan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang merupakan pemandu lori mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang memandu Honda City mengalami kecederaan ringan.
"Seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang merupakan penumpang Honda City pula disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta seorang lagi lelaki berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta BMW dilaporkan selamat,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera kemudiannya diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut.
"Operasi menyelamat melibatkan seramai 14 anggota bomba dengan kekuatan tiga jentera iaitu Fire Rescue Tender (FRT), Rapid Response Vehicle (RRV) dan Compact Fire Rescue Tender (CFRT)," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang wanita maut dan dua lelaki cedera dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan dekat Bukit Beruntung
- Kemalangan melibatkan lori treler, Honda City dan kereta BMW
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor digerakkan ke tempat kejadian selepas terima panggilan kecemasan
- Pemandu lori dan penumpang Honda City dilaporkan mengalami kecederaan parah dan ringan masing-masing sementara penumpang Honda City meninggal dunia
- Operasi penyelamat membabitkan 14 anggota bomba dengan tiga jentera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

