Penahanan sebelum himpunan GARAH langgar hak perlembagaan - Haniff Khatri

Mohamed Haniff Khatri (kanan) ketika sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mohamed Haniff Khatri (kanan) ketika sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penahanan beberapa individu termasuk penasihat undang-undang Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) sebelum himpunan aman pada 7 Februari lalu didakwa menyalahi hak kebebasan berhimpun seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Penasihat undang-undang GARAH, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, himpunan berkenaan merupakan perhimpunan sah dan dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Penganjuran serta kehadiran ke himpunan itu merupakan pelaksanaan hak perlembagaan dan tidak boleh dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah.

"Himpunan aman yang dijadualkan pada 7 Februari 2026 adalah suatu perhimpunan yang sah dan dilindungi oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak kebebasan berhimpun secara aman kepada setiap warganegara,” katanya ketika sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam laporan polis yang dibuat bagi merekodkan fakta berkaitan penahanannya oleh pihak polis pada tarikh berkenaan.

Menurut Mohamed Haniff, tindakan menahan beliau sebelum himpunan bermula tanpa memaklumkan kesalahan jelas serta tanpa asas undang-undang munasabah merupakan pencabulan hak perlembagaan.

"Penahanan tersebut merupakan suatu penahanan yang salah di sisi undang-undang kerana dibuat tanpa sebab munasabah dan tanpa justifikasi undang-undang yang sah,” katanya.

Tambah beliau, tindakan itu turut menjejaskan keupayaannya menjalankan tanggungjawab profesional sebagai peguam kepada anak guamnya.

Mohamed Haniff mendakwa penahanan tersebut bukan sahaja mencabuli hak peribadinya, malah menghalang akses anak guam kepada nasihat undang-undang pada saat kritikal.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan himpunan aman berkenaan sebelum ini telah dimaklumkan kepada pihak polis.

Katanya, penyelaras himpunan telah menyerahkan pemakluman kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung penganjuran himpunan tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, tiada maklum balas bertulis atau notis rasmi dikeluarkan pihak polis berkaitan larangan penganjuran himpunan itu.

Beliau berkata, hanya pada pagi 7 Februari, kenyataan awam dikeluarkan menyatakan himpunan berkenaan tidak dibenarkan.

Mohamed Haniff turut mendakwa sebelum himpunan bermula pada malam hari sama, pihak polis telah menahan kira-kira 20 individu termasuk dirinya sehingga menyebabkan himpunan tidak dapat diadakan.

Menurutnya, semasa ditahan, beliau tidak dimaklumkan kesalahan yang didakwa dilakukan serta peruntukan undang-undang berkaitan siasatan atau penahanan tersebut.

Beliau berkata, selepas ditahan, beliau dibawa ke IPD Dang Wangi dan rakaman percakapan diambil sebelum dibebaskan dengan jaminan polis awal pagi 8 Februari.

Sehubungan itu, Mohamed Haniff memohon pihak polis menjalankan siasatan terhadap beberapa perkara termasuk tindakan menghalang himpunan aman serta penahanan terhadap peserta dan dirinya.

Selain itu, beliau turut memohon siasatan dijalankan terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa serta penyebaran kenyataan palsu yang didakwa menjejaskan tujuan sebenar himpunan berkenaan.

"Laporan ini dibuat bagi merekodkan fakta sebelum, semasa dan selepas penahanan saya serta untuk tujuan tindakan lanjut di bawah undang-undang dan memelihara hak serta kepentingan saya di sisi undang-undang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 19 individu ditahan termasuk dua direman bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang cuba dianjurkan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan dibuat susulan perhimpunan ad hoc yang berlaku walaupun pihak polis tidak membenarkan penganjurannya atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 15 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun ditahan ketika perhimpunan berlangsung pada Sabtu.

Jelas beliau, daripada tangkapan tersebut, dua individu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 manakala 17 individu lain ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah sebagai langkah pencegahan.

Beliau berkata, pihak polis sebelum ini menerima pemakluman penganjuran perhimpunan daripada pihak penganjur sebelum sesi libat urus dijalankan.

Jelas beliau, hasil risikan, pemantauan dan siasatan mendapati perhimpunan tersebut berpotensi menjejaskan keselamatan awam selain pihaknya turut menerima sebanyak 131 laporan daripada pelbagai pihak termasuk premis sekitar lokasi yang mendakwa wujud ancaman berkaitan perhimpunan tersebut.

Ringkasan AI

  • Penahanan individu termasuk penasihat undang-undang GARAH sebelum himpunan aman didakwa menyalahi hak kebebasan berhimpun
  • Himpunan aman pada 7 Februari dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan
  • Penahanan tanpa memaklumkan kesalahan jelas dan tanpa asas undang-undang dicabar
  • Tindakan polis menghalang himpunan dan menahan peserta diminta disiasat
  • Himpunan tersebut telah dimaklumkan kepada pihak polis tetapi dibatalkan pada hari pelaksanaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!