Kartel diesel: SPRM hantar pegawai ke Sarawak lengkapkan siasatan, kemaskini data

Mohamad Zamri semasa Sesi Libat Urus BOK Bersama Bahagian di SPRM dan Agensi Luar di Putrajaya pada Khamis.
Mohamad Zamri semasa Sesi Libat Urus BOK Bersama Bahagian di SPRM dan Agensi Luar di Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya kini dalam proses akhir siasatan membabitkan kes kartel diesel yang ditumpaskan September lalu, termasuk menjurus kepada pendakwaan terhadap organisasi komersial yang melakukan rasuah demi kepentingan perniagaan mereka.

Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, pegawainya akan ke Kuching, Sibu dan Bintulu untuk melaksanakan tugasan tersebut.

Menurutnya, pengemaskinian data dan keterangan akan dibuat untuk pertuduhan kepada individu berkaitan.

"Fokus kita ialah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

"Maksudnya minyak disita berpunca hasil aktiviti haram iaitu syarikat tidak diberi kelulusan untuk menyimpan minyak subsidi," katanya kepada Sinar Harian selepas Sesi Libat Urus BOK Bersama Bahagian di SPRM dan Agensi Luar di sini pada Khamis.

Laporan eksklusif Sinar Harian pada 9 September lalu melaporkan kegiatan sebuah syarikat menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api tersebut ke seluruh negeri Sarawak dipercayai telah menyebabkan kerugian puluhan jutaan ringgit.

Rangkaian sindiket dipercayai membayar wang rasuah kepada 'orang dalam' sebagai balasan untuk memperolehi kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di sekitar negeri terbabit.

Berikutan itu, SPRM menerusi Op Karen di Sarawak telah menahan lima individu membabitkan tiga pengarah syarikat, seorang pengurus syarikat dan seorang pengurus wilayah.

Sitaan membabitkan lima unit kereta (RM1.7 juta), 24 bidang tanah (RM3 juta), lima kapal (RM52 juta), minyak diesel (RM9.7 juta), wang kripto RM564,673 serta wang tunai RM28,000.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!