Bongkar kartel diesel antara operasi mega MATF tahun ini - Azam Baki

Azam (kiri) menunjukkan pelaporan Sinar Harian berhubung isu penyelewengan diesel di Sarawak.
Azam (kiri) menunjukkan pelaporan Sinar Harian berhubung isu penyelewengan diesel di Sarawak.
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi mega menumpaskan kartel penyeludupan diesel di Sarawak baru-baru ini antara enam kejayaan dilakar Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebanyak enam operasi telah dijalankan bersama antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan CyberSecurity Malaysia.

Menurutnya, operasi itu ialah Op White, Op Kingfruit, Op X, Op Sikaro, Op Metal dan Op Karen.

"Op White merupakan operasi membabitkan penyelewengan perolehan dan susu tepung kontrak kerajaan dengan tindakan pembekuan akaun RM174.7 juta. Op Kingfruit pula kes penipuan pelaburan durian di Raub, Pahang dengan nilai pembekuan akaun dan sitaan harta bernilai RM16.15 juta.

Laporan Sinar Harian mengenai Op White.
Laporan Sinar Harian mengenai Op White.

"Kes penipuan wang kripto dibongkar menerusi Op X dengan pembekuan akaun dan sitaan harta berjumlah RM28.6 juta, manakala Op Sikaro berjaya menumpaskan sindiket seludup rokok dan tembakau menerusi tindakan pembekuan RM218 juta.

"Op Metal membabitkan sindiket seludup besi dan e-waste berjaya melaksanakan pembekuan akaun serta sitaan aset bernilai RM332.5 juta dan terbaharu Op Karen yang melibatkan sindiket penyeludupan minyak diesel dan petrol dengan nilai sitaan serta pembekuan akaun RM190.8 juta," katanya pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pasukan khas Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM digerakkan ke lokasi serbuan di sebuah gudang di Sibu, Sarawak berhubung siasatan kes sindiket penyelewengan diesel.
Pasukan khas Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM digerakkan ke lokasi serbuan di sebuah gudang di Sibu, Sarawak berhubung siasatan kes sindiket penyelewengan diesel.

Beliau berkata, nilai keseluruhan pembekuan dan sitaan enam operasi yang dicatatkan ialah RM960.73 juta.

Tambah Azam, SPRM berperanan sebagai penggerak utama MATF dengan tanggungjawab koordinasi siasatan termasuklah mengurus pengumpulan bukti, mengesan aliran wang dan aset serta mengemukakan permintaan bantuan undang-undang antarabangsa.

"SPRM juga bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dalam prosiding mahkamah bagi menyita aset di dalam dan luar negara selain kerjasama antarabangsa dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan agensi luar untuk mendapatkan pemulangan aset," ujarnya.

Pasukan khas Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM membuat kawalan semasa serbuan di Sibu, Sarawak membabitkan kes sindiket penyelewengan diesel.
Pasukan khas Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM membuat kawalan semasa serbuan di Sibu, Sarawak membabitkan kes sindiket penyelewengan diesel.

Laporan eksklusif Sinar Harian pada 9 September lalu melaporkan kegiatan sebuah syarikat menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api tersebut ke seluruh negeri Sarawak dipercayai telah menyebabkan kerugian puluhan jutaan ringgit.

Rangkaian sindiket dipercayai membayar wang rasuah kepada 'orang dalam' sebagai balasan untuk memperolehi kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di sekitar negeri terbabit.

Berikutan itu, SPRM menerusi Op Karen di Sarawak telah menahan lima individu membabitkan tiga pengarah syarikat, seorang pengurus syarikat dan seorang pengurus wilayah.

Kira-kira RM34 juta daripada 170 akaun bank persendirian dan 50 akaun syarikat telah dibekukan.

 

 

Ringkasan AI

  • Operasi mega menumpaskan kartel penyeludupan diesel di Sarawak merupakan antara enam kejayaan MATF yang diketuai SPRM tahun ini
  • Enam operasi termasuk Op White, Op Kingfruit, Op X, Op Sikaro, Op Metal, dan Op Karen dengan nilai keseluruhan sitaan dan pembekuan akaun RM960.73 juta
  • Op White melibatkan enyelewengan perolehan susu tepung kerajaan, Op Kingfruit tentang penipuan pelaburan durian, dan Op X mengungkap penipuan wang kripto
  • Op Sikaro tumpaskan sindiket seludup rokok, Op Metal berkaitan dengan penyeludupan besi dan e-waste, manakala Op Karen membongkar sindiket penyeludupan minyak diesel dan petrol
  • SPRM berperanan sebagai penggerak utama MATF, berkoordinasi siasatan, mengumpul bukti, mendeteksi aliran wang, serta mengemukakan permintaan bantuan undang-undang antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!