Pemandu terlelap, kereta rempuh tembok pagar sekolah

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai terlelap sebelum kereta dipandunya hilang kawalan dan merempuh tembok pagar sebuah sekolah di Jalan Kampung Pasir, dari arah Pantai Dalam menghala ke Jalan Klang Lama di sini pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 40-an dalam perjalanan pulang ke rumah di Seri Sentosa di sini selepas berjumpa rakannya.
"Siasatan awal mendapati lelaki yang memandu kereta Toyota Vios itu dipercayai terlelap sebelum kenderaan tersebut hilang kawalan lalu merempuh tembok pagar sekolah berkenaan.
"Kemalangan itu menyebabkan tembok pagar sekolah rosak, namun tiada kecederaan dilaporkan melibatkan mana-mana pihak," katanya.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu kenderaan terbabit telah tampil ke balai polis untuk membuat laporan dan memberi keterangan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki terlelap sebelum kereta dipandunya hilang kawalan dan merempuh tembok pagar sekolah di Jalan Kampung Pasir
- Lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Seri Sentosa selepas berjumpa rakan
- Kenderaan yang terlibat adalah Toyota Vios
- Tidak ada kecederaan dilaporkan meskipun tembok pagar sekolah rosak
- Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
