Kongsi gelap lindungi kartel diesel di Sarawak - SPRM

Azam (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Isnin. Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Azam (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Isnin. Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA – Terdapat penglibatan kumpulan kongsi gelap yang membabitkan kartel rasuah dan penyelewengan diesel di Sarawak, yang berjaya ditumpaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati syarikat yang terlibat dalam kes penyelewengan diesel merupakan syarikat berlesen, namun disyaki telah menyalahgunakan lesen tersebut.

Menurut beliau, tindakan menyenarai hitam syarikat terbabit perlu diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pasukan khas Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM ditugaskan untuk melaksanakan kawalan sepanjang Op Karen di Sarawak.
Pasukan khas Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM ditugaskan untuk melaksanakan kawalan sepanjang Op Karen di Sarawak.

“Sindiket itu mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap di kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan kami mendapati kumpulan kongsi gelap ini menawarkan perlindungan, khususnya ketika mereka memindahkan diesel di laut,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada Isnin.

Beliau berkata, penglibatan kumpulan kongsi gelap itu dikesan dalam kegiatan pemindahan minyak di perairan Sarawak termasuk bagi memastikan aktiviti tersebut tidak dikesan oleh pihak berkuasa negeri.

Tambahnya, siasatan juga mendedahkan kemungkinan sindiket berkenaan telah merasuah beberapa anggota penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

“Kami membangunkan kes ini berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada orang awam di kawasan terlibat,” ujarnya.

Pasukan khas Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM ditugaskan untuk melaksanakan kawalan sepanjang Op Karen di Sarawak.
Pasukan khas Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM ditugaskan untuk melaksanakan kawalan sepanjang Op Karen di Sarawak.

Dalam pada itu, Azam turut merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, atas bantuan serta kerjasama erat yang diberikan kepada SPRM melalui penggunaan aset dan penglibatan anggota dalam menjayakan Operasi Karen (Op Karen).

Jelasnya, bentuk kerjasama antara agensi seperti ini amat dialu-alukan.

“Ia memainkan peranan penting dalam usaha membanteras segala aktiviti yang boleh menggugat kedaulatan negara tercinta, Malaysia,” katanya.

Op Karen, yang diketuai SPRM menerusi Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF), telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak pada 2 hingga 8 September lalu, dan berjaya membongkar sindiket rasuah, penyeludupan serta pengubahan wang haram yang menyebabkan kerugian hasil kerajaan sebanyak RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.

Ringkasan AI

  • Kongsi gelap terlibat dalam penyelewengan diesel di Sarawak ditumpaskan oleh SPRM
  • Syarikat yang terlibat adalah syarikat berlesen yang menyalahgunakan lesen mereka
  • Sindiket ini mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap yang menyediakan perlindungan semasa pemindahan diesel di laut
  • Siasatan mendapati kemungkinan sindiket merasuah anggota penguat kuasa
  • SPRM menerima kerjasama erat dari tentera darat dan udara dalam menjayakan operasi Op Karen, yang membongkar aktiviti tidak sah menyebabkan kerugian RM247 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!