Polis tembak tayar kereta, suspek pecah rumah cuba langgar anggota

ARAU – Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar sebuah kereta dinaiki dua suspek pecah rumah dan curi kereta selepas mereka bertindak nekad cuba melanggar anggota bertugas dalam kejadian di pekarangan Café Kesenai, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Arau pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, suspek enggan memberi kerjasama ketika diarahkan keluar dari kenderaan sebelum memecut ke hadapan dan cuba melanggar anggota polis.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, tindakan melepaskan tembakan dilakukan secara terkawal dan tertumpu pada tayar kenderaan bagi menghalang cubaan melarikan diri.
“Tembakan mengenai tayar hadapan kanan dan kiri, namun suspek tetap melarikan diri hingga ke kawasan Taman Bersatu, Jalan Batas Liku, kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau di sini pada Khamis.
Ahmad Mohsin berkata, hasil operasi itu seorang suspek lelaki berjaya ditahan manakala seorang lagi melarikan diri ke kawasan semak sebelum ditahan di sekitar Santan, Kangar.
Menurutnya, susulan penahanan tersebut, polis turut menahan seorang wanita di sebuah rumah di Jalan Santan pada jam 12.45 pagi kerana dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
"Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui sarung pistol hitam, enam kelongsong peluru dan serpihan anak peluru.
Turut dirampas sebuah kereta Perodua Kelisa, telefon bimbit, anak kunci, televisyen serta mesin pemotong kayu," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Ringkasan AI
- Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek yang cuba melanggar anggota bertugas di Arau
- Suspek berusaha melarikan diri setelah enggan memberi kerjasama ketika diarah keluar dari kenderaan
- Tembakan bertujuan menghalang cubaan melarikan diri dilakukan secara terkawal dan tertumpu pada tayar kenderaan
- Dua suspek lelaki dan seorang wanita berjaya ditahan berkaitan dengan kes pecah rumah dan curi kereta
- Barang rampasan termasuk kereta Perodua Kelisa, telefon bimbit, televisyen, dan barang-barang lain serta sarung pistol dan kelongsong peluru ditemui dalam kenderaan suspek
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

