Keluarga Altantuya pulangkan semula ganti rugi lebih RM4.8 juta kepada Kerajaan Malaysia

Keluarga Altantuya Shaariibuu telah memulangkan semula ganti rugi bernilai lebih RM4.8 juta kepada Kerajaan Malaysia. Foto fail Bernama
Keluarga Altantuya Shaariibuu telah memulangkan semula ganti rugi bernilai lebih RM4.8 juta kepada Kerajaan Malaysia. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluarga Altantuya Shaariibuu telah memulangkan semula ganti rugi bernilai lebih RM4.8 juta kepada Kerajaan Malaysia termasuk faedah, yang sebelum ini diberikan kepada mereka, susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan kerajaan daripada liabiliti atas kematian model warga Mongolia itu pada 2006.

Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Altantuya, berkata, keseluruhan jumlah itu tidak disentuh dan kekal disimpan dalam akaun pemegang amanah, selaras dengan perintah mahkamah.

"Keseluruhan jumlah yang dibayar sebelum ini berdasarkan perintah penangguhan bersyarat Mahkamah Tinggi Shah Alam, merangkumi jumlah penuh penghakiman dan semua faedah yang terkumpul, telah dipulangkan sepenuhnya kepada Kerajaan Malaysia semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sangeet berkata, langkah yang sama diambil turut terpakai kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda dengan pemulangan dibuat mengikut potongan yang diarahkan oleh Mahkamah Rayuan.

"Seperti yang selalu dikatakan oleh bapa Altantuya, kes ini bukanlah berkaitan dengan wang. Perkara yang dicari beliau ialah jawapan, kebertanggungjawaban dan pengakuan. Pemulangan wang dengan segera dan jumlah yang sepenuhnya termasuk faedah yang diperoleh, mencerminkan pendirian itu dengan jelasnya," katanya.

Pemulangan ganti rugi itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2025 yang mengarahkan Kerajaan Malaysia dan Abdul Razak masing-masing membayar RM4.7 juta kepada keluarga Altantuya dan mendepositkan jumlah itu sementara menunggu pendengaran rayuan mereka.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap kematian Altantuya kerana perbuatan kedua-dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, dilakukan di luar tugas mereka.

Ibu bapa Altantuya dan cucu mereka telah memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 atas dakwaan kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental serta trauma psikologi.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2022 membenarkan saman yang difailkan oleh keluarga Altantuya dan mengarahkan Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak, dan kerajaan membayar ganti rugi RM5 juta secara bersama. Kerajaan dan Abdul Razak kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Artikel Berkaitan:

Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009 kerana membunuh Altantuya di Shah Alam pada 19 dan 20 Oktober 2006. Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap mereka selepas mengetepikan keputusan pembebasan oleh Mahkamah Rayuan sebelum itu. - Bernama

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Keluarga Altantuya Shaariibuu telah memulangkan semula ganti rugi lebih RM4.8 juta kepada Kerajaan Malaysia
  • Ganti rugi itu tidak disentuh dan disimpan dalam akaun pemegang amanah selaras dengan perintah mahkamah
  • Pemulangan termasuk jumlah penuh penghakiman dan semua faedah yang terkumpul
  • Mahkamah Rayuan membebaskan kerajaan dan Abdul Razak Baginda dari liabiliti atas kematian Altantuya
  • Keluarga Altantuya memfailkan saman RM100 juta atas dakwaan kematian menyebabkan mereka trauma psikologi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!