Kartel diesel: Anggota penguat kuasa, pihak urus tender dalam radar SPRM

KUALA LUMPUR - Seramai kira-kira 12 individu daripada kalangan agensi penguat kuasa serta pihak yang menguruskan tender kini berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kartel tender dan pembekalan diesel di Sarawak.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, sindiket berkenaan antara yang terbesar dikesan di Sibu.

“Ada lima hingga enam orang daripada tiga agensi penguat kuasa dalam radar. Ada juga pihak yang menguruskan tender dan jualan… dalam enam hingga tujuh orang.
“Ini yang kita kesan daripada maklumat yang diperoleh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Beliau berkata, dipercayai bayaran rasuah daripada kartel terbabit diberikan secara tunai.
Katanya, SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa siri tangkapan.
Dalam pada itu, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai tindakan sitaan bernilai jutaan ringgit yang telah dilaksanakan SPRM dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain.
Laporan eksklusif Sinar Harian pada Selasa mendedahkan kegiatan sebuah syarikat yang menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api ke seluruh Sarawak, dipercayai menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit.
Rangkaian sindiket dipercayai membayar wang rasuah kepada ‘orang dalam’ sebagai balasan untuk memperoleh kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di negeri tersebut.
Hasil daripada pemberian rasuah itu, sindiket terbabit berjaya memperoleh tender serta kontrak pembekalan diesel komersial kepada salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri.
Sindiket itu dipercayai memonopoli tender berkenaan sejak 10 tahun lalu hingga kini.
Mereka berjaya memenangi tender kerana menawarkan harga minyak diesel lebih rendah berbanding syarikat pengeluar minyak besar lain.
Selain itu, bekalan minyak diesel untuk kerajaan negeri juga dipercayai diseludup dan diseleweng kepada kapal luar pesisir (offshore).
Ringkasan AI
- Kira-kira 12 individu dari agensi penguat kuasa dan pengurusan tender di Sarawak disiasat oleh SPRM terkait kartel tender dan pembekalan diesel
- SPRM mengesan sindiket besar di Sibu yang terlibat dengan rasuah dalam tender dan pembekalan diesel
- Bayaran rasuah kepada kartel tersebut dipercayai diberikan secara tunai
- Sindiket berkenaan berjaya memperoleh tender dengan menawarkan harga lebih rendah dan menyalahgunakan pembekalan minyak diesel
- Syarikat yang terlibat dalam kartel telah memonopoli tender selama 10 tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
