Pantau tender menerusi sistem, tangani isu kartel diesel - Kajian UTM

SEPANG - Usaha menangani kartel penyelewengan diesel dengan memonopoli tender mampu dilakukan sekiranya sistem perolehan diuruskan dengan cekap di setiap peringkat.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Shaziera Omar berkata, kartel atau orang tengah kebiasaannya terdiri daripada individu berpangkat besar dalam organisasi terbabit.
Menurutnya, kartel merupakan pihak yang mengawal harga bahan api berkenaan.
“Apa yang kita tahu, kartel sebenarnya orang yang pegang harga. Industri minyak dan gas ini sangat mewah.
“Jadi bagaimana hendak tangani isu tender dan rasuah ini? Kami cadangkan diwujudkan sistem perolehan yang lebih telus. Contohnya, di luar negara mereka sudah menggunakan sistem khas untuk menghantar tender. Tetapi di sini kita masih gunakan kaedah manual,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 di Movenpick Convention Centre, di sini pada Jumaat.

Beliau sebelum itu membentangkan kajian mengenai risiko rasuah dalam industri minyak dan gas di Malaysia.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Tambahnya, sistem telus penting bagi mengelakkan sebarang manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Jelasnya, kesan negatif rasuah dalam perolehan tender khususnya membabitkan industri minyak dan gas sudah pasti menjejaskan syarikat kecil tempatan.
“Kebiasaan hanya syarikat yang ‘biasa’ sahaja akan dapat tender,” ujarnya.
Laporan eksklusif Sinar Harian pada 9 September lalu mendedahkan kegiatan sebuah syarikat yang dipercayai menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan diesel ke seluruh Sarawak hingga menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit.
Rangkaian sindiket dipercayai membayar wang rasuah kepada ‘orang dalam’ sebagai balasan bagi mendapatkan kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di negeri terbabit.
Hasil daripada pemberian rasuah itu, sindiket berjaya memperoleh tender serta kontrak pembekalan diesel komersial kepada salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri.
Sindiket berkenaan dipercayai telah memonopoli tender sejak 10 tahun lalu kerana menawarkan harga minyak diesel yang lebih rendah berbanding syarikat pengeluar minyak lain.
Selain itu, bekalan minyak diesel yang sepatutnya untuk kerajaan negeri juga dipercayai diseludup serta diseleweng kepada kapal luar pesisir (offshore).
Ringkasan AI
- Usaha menangani kartel penyelewengan diesel boleh ditangani dengan sistem perolehan yang lebih cekap dan telus
- Kartel dalam industri minyak dan gas adalah individu berpangkat besar yang mengawal harga bahan api
- Penggunaan kaedah manual dalam tender memudahkan manipulasi dan rasuah
- Rasuah dalam tender industri minyak dan gas menjejaskan syarikat kecil tempatan
- Sindiket berjaya memonopoli tender dengan menawarkan harga minyak diesel yang rendah dan melakukan penyeludupan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
