Pendakwah bebas terkenal direman SPRM, disyaki salah guna kuasa

SUNGAI PETANI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan reman dua individu termasuk seorang pendakwah bebas kerana disyaki salah guna kuasa meluluskan kira-kira RM600,000 sebagai balasan bayaran mengumpul dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.
Perintah reman selama sehari terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Noorfazlina Musa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira jam 1 petang Rabu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek, masing-masing merupakan Pengarah Urusan Syarikat dan Ketua Jabatan Kewangan dan Perakauan disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar September 2018.
"Suspek utama seorang lelaki dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya telah bersubahat bersama suspek kedua, seorang wanita dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 kepada suspek utama sebagai bayaran pengumpul dana tanpa mendapat kelulusan daripada rakan kongsi yang lain,” katanya.
Tambah sumber, siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM telah bermula sejak Oktober tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Ringkasan AI
- SPRM Kedah tahan dua individu termasuk pendakwah bebas atas tuduhan salah guna kuasa meluluskan bayaran RM600,000
- Perintah reman selama sehari dikeluarkan oleh Majistret Noorfazlina Musa
- Dua suspek yang ditahan adalah seorang lelaki dan wanita berusia 30-an
- Kedua-dua suspek disyaki telah bersubahat melakukan salah guna kuasa pada September 2018
- Siasatan SPRM bermula sejak Oktober tahun lalu dan melibatkan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

