Penceramah bebas dijel 10 hari gagal lunas hutang kahwin RM120,000 bekas isteri ketiga

RAWANG – [DIKEMAS KINI] Penceramah bebas, Farid Abu Auliya dihukum penjara 10 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini pada Rabu, selepas gagal melunaskan hutang perkahwinan berjumlah RM120,000 kepada bekas isteri ketiganya, sejak 2023.
Dia yang juga penghutang atau nama sebenar Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, dikenakan hukuman itu selepas Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib menolak semua alasan yang dinyatakan di mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan pihak penghutang selaku defendan membayar RM3,000 bagi kos prosiding.
Penghakiman dibuat mengikut Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 berkaitan permohonan untuk mengeluarkan notis penghakiman terhadap penghutang penghakiman.
Defendan yang tidak diwakili peguam syarie, memberi alasan mengalami kesempitan kewangan yang serius kerana akaun bank miliknya dibekukan dan tauliah untuk ceramah agama telah ditarik balik.
Dia juga merupakan penanggung tunggal keluarga, perlu menyara tiga isteri dan 10 anak termasuk menanggung ibu dan bapa.
Semasa membaca keputusan, Mohd Faizal berkata, penghutang sepatutnya membayar RM120,000 tersebut dalam tempoh enam bulan dari tarikh penghakiman diserahkan kepadanya pada 2023.
Bagaimanapun beliau berkata, penghutang ingkar untuk membayar hutang berkenaan.
“Berdasarkan ekshibit yang dilampirkan, penghutang penghakiman mempunyai pendapatan bulanan yang ditunjukkan dalam penyata akaun syarikat miliknya.
"Ini jelas membuktikan dia mempunyai sumber dan keupayaan kewangan untuk menjelaskan pembayaran penghakiman mahkamah tersebut," katanya.
Menyentuh perbelanjaan 10 anaknya, beliau berkata, mahkamah mendapati penghutang gagal membuktikan perbelanjaan kerana mereka bersekolah di rumah.
Beliau berkata, jika menghadapi kesempitan wang, defendan sepatutnya memohon penjadualan semula bayaran atau mengemukakan cadangan bayaran secara sukarela.
Katanya, sikap menafikan hak pemiutang penghakiman telah mencabar kewibawaan mahkamah syariah kerana membiarkan perintah tidak dipatuhi tanpa sebarang usaha pematuhan.
“Keingkaran berterusan penghutang penghakiman untuk membuat walau satu bayaran kecil merupakan bukti kukuh keingkaran tersebut disengajakan dan wajar dikenakan tindakan yang tegas," katanya.
Sementara itu, peguam syarie, Musa Awang yang mewakili bekas isteri ketiga penghutang, Norhasyimah Mohamed Arip, 44, berkata, penceramah berkenaan masih perlu melunaskan hutang berkenaan termasuk kos prosiding biarpun diperintah menjalani hukuman penjara.
Pada 16 Julai 2025, dia didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam atas satu pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah, 2024 lalu.
Ringkasan AI
- Penceramah bebas, Farid Abu Auliya dihukum penjara 10 hari kerana gagal melunaskan hutang perkahwinan RM120,000
- Hukuman dikenakan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat
- Farid dikenali juga dengan nama Faridul Firdaus Zaulkapli berusia 40 tahun
- Mahkamah memerintahkan membayar RM3,000 untuk kos prosiding
- Hukuman dibuat mengikut Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

