Qatar, Jordan kecam Netanyahu, Indonesia ucap ‘Shalom’ - Media Israel

NEW YORK – Pemimpin Qatar dan Jordan lantang mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai ancaman serantau dan penghalang utama kepada keamanan dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.
The Times of Israel melaporkan bahawa Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani berkata, Israel memilih peperangan berbanding usaha membebaskan baki 48 tebusan dan mendakwa serangan khianat ke atas kepimpinan Hamas di Doha pada 9 September lalu adalah cubaan menggagalkan rundingan gencatan senjata yang dimediasi negaranya.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai 'keganasan negara' serta pencabulan kedaulatan negaranya.
Dalam ucapannya, Sheikh Tamim menjelaskan Netanyahu melihat perang Gaza sebagai peluang untuk memperluas penempatan haram Yahudi, mengubah status quo di tapak suci Baitulmaqdis dan menjadikan Gaza tidak lagi sesuai untuk didiami.
“Israel bukan sebuah negara demokrasi yang dikelilingi musuh, sebaliknya ia adalah musuh kepada jiran-jirannya,” tegas beliau.
Nada yang sama disuarakan Raja Jordan, Raja Abdullah II, yang menuduh kerajaan pimpinan Netanyahu mengancam kedaulatan negara jiran melalui agenda “Israel Raya” serta menegaskan Tel Aviv bukan rakan yang ikhlas untuk perdamaian.
Menariknya, Presiden Indonesia negara Islam terbesar dunia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel menyatakan dunia harus menghormati hak Israel untuk hidup dalam keselamatan.
Beliau menutup ucapannya dengan ungkapan bahasa Ibrani, “Shalom”.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

