Lubnan rayu sokongan dunia, desak Israel undur tentera

Joseph Aoun - Foto: Agensi
Joseph Aoun - Foto: Agensi
A
A
A

ISTANBUL - Presiden Lubnan, Joseph Aoun pada Selasa menggesa supaya serangan Israel segera dihentikan, tentera Israel diundurkan dari wilayah negara itu serta pembebasan tahanan warga Lubnan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di New York, Aoun menggesa PBB dan masyarakat antarabangsa supaya berdiri bersama Lubnan serta memberi sokongan agar negara itu terus berperanan sebagai landasan dan model bagi keamanan serta kehidupan bersama.

"Kami menuntut agar serangan Israel dihentikan, pengunduran tentera pendudukan dari semua tanah kami, pembebasan tahanan kami, dan pelaksanaan sepenuhnya Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.

Tidak akan ada pembangunan tanpa keamanan, tiada keamanan tanpa keadilan, tiada keadilan tanpa hak asasi manusia, dan tiada kemakmuran dalam keadaan konflik serta peperangan,” katanya.

Menyatakan rasa dukacita kerana terpaksa berbicara tentang keamanan, pembangunan dan hak asasi manusia pada saat sebahagian rakyatnya dibunuh, sebahagian wilayah Lubnan diduduki serta masa depan negaranya terancam, Aoun menzahirkan kebimbangan terhadap situasi buruk yang dihadapi negaranya.

Beliau menekankan bahawa melindungi Lubnan adalah tanggungjawab global dan antarabangsa, sambil memberi amaran bahawa jika Lubnan - tempat umat Kristian dan Islam hidup bersama sebagai komuniti yang berbeza tetapi setara - runtuh, tiada negara lain di dunia yang mampu mencontohi pengalaman unik ini.

Aoun turut menegaskan bahawa Lubnan mewakili satu model yang membolehkan negara itu memiliki satu-satunya presiden Arab Kristian di rantau ini.

"Pertarungan mengenai identiti Lubnan - sama ada ia akan menjadi tanah kehidupan dan kegembiraan, platform rakyat kami untuk berhubung dengan rantau serta dunia, atau sebaliknya menjadi ranjang kematian, medan pertempuran dan tapak penyebaran konflik ke negara jiran - masih berterusan dengan sengit. Kami telah membuat pilihan, dan kami akan terus menempuh jalan pertama itu.”

"Seruan saya kepada anda ialah: berdirilah bersama kami untuk keamanan dan kemanusiaan di rantau kami. Jangan tinggalkan Lubnan.” - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Presiden Lubnan Joseph Aoun menggesa supaya serangan Israel dihentikan
  • Tentera Israel diminta diundurkan dari wilayah negara itu serta pembebasan tahanan warga Lubnan
  • Aoun menggesa PBB dan masyarakat antarabangsa berdiri bersama Lubnan
  • Beliau menekankan perlindungan Lubnan adalah tanggungjawab global
  • Aoun menegaskan Lubnan sebagai model unik kerana memiliki presiden Arab Kristian dan kehidupan bersama komuniti Kristian dan Islam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!