Eskalator rosak, Trump dakwa sabotaj terancang kakitangan PBB

NEW YORK - Insiden janggal menimpa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump apabila eskalator yang dinaikinya bersama isteri, Melania, tiba-tiba terhenti di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum beliau menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung, pada Isnin.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt mendakwa, kerosakan itu berkemungkinan besar satu bentuk sabotaj terancang oleh kakitangan PBB.
“Kalau benar ada individu yang sengaja menghentikan eskalator ketika presiden dan wanita pertama sedang menaikinya, mereka perlu dipecat dan disiasat segera,” katanya menerusi hantaran di X.
PBB bagaimanapun menafikan dakwaan itu, menjelaskan kerosakan berpunca daripada mekanisme keselamatan yang terpicu apabila seorang juruvideo daripada delegasi AS berlari menaiki eskalator secara mengundur.
“Tiada unsur jahat. Ia sekadar fungsi keselamatan,” jelas jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stéphane Dujarric.
Insiden itu mencetuskan perdebatan di media sosial dengan penyokong Trump menuduh ia konspirasi untuk 'memalukan presiden', manakala pihak lawan menganggapnya sekadar kebetulan teknikal.
Dalam ucapannya selepas kejadian, Trump berseloroh: “Dua perkara yang saya dapat daripada PBB satu eskalator rosak dan teleprompter rosak.”
Beliau kemudian mengaitkan insiden itu dengan sindiran terhadap PBB yang disifatkannya sebagai 'gagal dan hanya menambah masalah dunia'.- Agensi
Ringkasan AI
- Insiden janggal menimpa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump apabila eskalator yang dinaikinya bersama isteri, Melania, tiba-tiba terhenti di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
- Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt mendakwa kerosakan itu berkemungkinan besar satu bentuk sabotaj terancang oleh kakitangan PBB
- PBB menafikan dakwaan sabotaj, menjelaskan kerosakan berpunca daripada mekanisme keselamatan yang terpicu apabila seorang juruvideo daripada delegasi AS berlari menaiki eskalator secara mengundur
- Insiden mencetuskan perdebatan di media sosial dengan penyokong Trump menuduh ia konspirasi untuk 'memalukan presiden', manakala pihak lawan menganggapnya sekadar kebetulan teknikal
- Dalam ucapannya selepas kejadian, Trump berseloroh tentang insiden itu dan mengaitkan dengan sindiran terhadap PBB yang disifatkannya sebagai 'gagal dan hanya menambah masalah dunia'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

