Macron cabar Trump hentikan perang Gaza jika mahu terima Nobel Keamanan

NEW YORK – Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump hanya layak menerima Hadiah Nobel Keamanan sekiranya beliau berjaya menghentikan perang di Gaza.
Dalam temu bual bersama stesen televisyen BFM TV ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Macron menegaskan bahawa hanya Trump mempunyai kuasa untuk menekan Israel supaya menamatkan konflik tersebut.
“Seorang sahaja yang mampu melakukan sesuatu mengenai hal ini, iaitu Presiden Amerika Syarikat. Sebabnya, kami tidak membekalkan senjata yang memungkinkan perang di Gaza diteruskan. Amerika Syarikat yang melakukannya,” katanya.
Trump pada Selasa menyampaikan ucapan lantang di PBB, menolak gesaan sekutu Barat untuk mengiktiraf negara Palestin dengan alasan ia akan menjadi ‘ganjaran’ kepada Hamas.
Namun beliau turut berkata: “Kita perlu hentikan perang di Gaza segera dan berunding untuk keamanan.”
Mengulas ucapan itu, Macron menyindir Trump: “Saya lihat seorang Presiden Amerika yang mahu keamanan, yang berkata sudah menyelesaikan tujuh konflik, dan mahu Hadiah Nobel Keamanan. Tetapi Nobel itu hanya mungkin jika anda menghentikan konflik Gaza.”
Beberapa negara termasuk Kemboja, Israel dan Pakistan telah menamakan Trump sebagai calon anugerah tersebut kerana peranannya dalam memeterai beberapa perjanjian damai sebelum ini.
Jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly mempertahankan Trump dengan menyatakan, “Presiden Trump telah melakukan lebih banyak usaha damai berbanding semua pemimpin yang hadir di PBB digabungkan. Hanya beliau yang berjaya mencapai kestabilan global kerana berjaya ‘Menguatkan Amerika Semula’.”- Agensi
Ringkasan AI
- Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan Donald Trump layak menerima Hadiah Nobel Keamanan jika dapat hentikan perang di Gaza
- Macron menekankan hanya Trump yang mempunyai kuasa menekan Israel untuk menamatkan konflik tersebut
- Trump menyampaikan ucapan di PBB, menolak pengiktirafan negara Palestin dan menyeru penghentian perang di Gaza
- Macron menyindir Trump dengan menyatakan Nobel Keamanan hanya mungkin jika konflik Gaza dihentikan
- Beberapa negara telah menamakan Trump sebagai calon Hadiah Nobel Keamanan kerana perannya dalam memeterai perjanjian damai sebelum ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

