'Tidak satu meter tanah pun akan diberi kepada AS'- Menteri Luar Afghanistan

Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi.
Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi.
A
A
A

KABUL – Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi, menolak sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu menguasai semula Pangkalan Udara Bagram dengan menegaskan bahawa “tidak satu meter tanah Afghanistan pun akan diserahkan kepada Amerika.”

Dalam temu bual khas bersama Tolo News, Muttaqi menyatakan penolakan itu hanya beberapa hari selepas Trump mengumumkan bahawa Washington sedang berusaha untuk mendapatkan semula kawalan ke atas pangkalan tersebut.

Pangkalan Udara Bagram kini berada di bawah pentadbiran kerajaan Taliban selepas pengunduran tentera AS dan sekutunya dari Afghanistan pada 2021.

Afghanistan turut mengeluarkan kenyataan rasmi pada Ahad bagi menangkis kenyataan Trump, menegaskan komitmen negara itu terhadap dasar luar yang seimbang dan berorientasikan ekonomi, berasaskan prinsip Islam dan kepentingan bersama dengan semua negara.

Kenyataan itu menekankan bahawa kemerdekaan dan integriti wilayah Afghanistan merupakan keutamaan yang tidak boleh dirunding dalam semua hubungan dwilateral, termasuk dengan Amerika Syarikat.

“Selaras dengan prinsip Islam dan berasaskan dasar luar yang seimbang serta berorientasikan ekonomi, Emiriah Islam Afghanistan berhasrat menjalin hubungan konstruktif dengan semua negara berdasarkan kepentingan bersama.

“Keutamaan Emiriah Islam Afghanistan terhadap kemerdekaan dan integriti wilayah telah secara konsisten disampaikan dalam semua rundingan dwilateral dengan Amerika Syarikat,” kata kenyataan itu.

Emiriah Islam juga merujuk kepada Perjanjian Doha, yang mana AS berikrar untuk tidak menggunakan atau mengancam kekerasan terhadap integriti wilayah Afghanistan atau campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara itu.

“Perlu diingat bahawa di bawah Perjanjian Doha, Amerika Syarikat berikrar bahawa ‘mereka tidak akan menggunakan atau mengancam kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik Afghanistan, serta tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman negara tersebut.’

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, mereka mesti menepati komitmen mereka. Sekali lagi ditekankan bahawa, daripada mengulang pendekatan yang gagal sebelum ini, polisi berasaskan realisme dan rasionaliti harus diamalkan,” menurut kenyataan itu.

Perjanjian damai antara AS dan Taliban ditandatangani pada Februari 2020 semasa penggal pertama Trump sebagai Presiden.

Perjanjian itu menetapkan pengunduran tentera AS dari tanah Afghanistan, manakala Taliban berikrar mengurangkan keganasan dan memastikan tanah negara mereka tidak dijadikan tempat perlindungan pengganas.

Trump sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa beliau ingin mengekalkan kawalan pangkalan udara itu kerana kepentingannya dari segi strategik, berhampiran sempadan Afghanistan dan China.

Beliau juga menyifatkan keputusan pengunduran tentera dari pangkalan itu sebagai “detik paling memalukan dalam sejarah negara kami.”

Lebih awal pada hari yang sama, Trump dalam hantaran di platform Truth Social memberi amaran bahawa “perkara buruk akan berlaku” sekiranya Afghanistan tidak mematuhi tuntutannya.

Kini, Pangkalan Udara Bagram dikawal oleh kerajaan Taliban sejak pengunduran tentera AS pada 2021. Terletak di utara Kabul, pangkalan ini berfungsi sebagai hab utama operasi ketenteraan AS sepanjang 20 tahun kehadiran mereka di Afghanistan.

Pangkalan itu, yang turut menempatkan penjara terkenal, menjadi lokasi penahanan ribuan individu tanpa pertuduhan atau perbicaraan sepanjang operasi “perang menentang keganasan” yang diketuai AS, dengan ramai dilaporkan mengalami penderaan dan penyeksaan, menurut laporan Al Jazeera. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!