Proses batal langganan sukar, kerajaan digesa tingkat perlindungan pengguna - NCCC

SHAH ALAM – Proses pembatalan langganan perkhidmatan yang rumit dan membebankan menjadi keluhan utama pengguna di negara ini apabila terpaksa berdepan pelbagai halangan.
Bukan sahaja panggilan telefon berulang kali tidak berjawab, mereka juga perlu mengisi borang yang kompleks dan membayar penalti tinggi untuk menamatkan kontrak sebelum tamat tempoh.
Pengurus Kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Saral James Maniam berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan pengguna yang ‘terperangkap’ dalam langganan tidak diperlukan.
Malah dakwanya, terdapat kes pengguna masih dikenakan caj bulanan meskipun tidak lagi menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Contohnya, seorang pengguna telah menghantar dokumen lengkap untuk menutup akaun televisyen berbayar milik ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.
“Namun selepas tiga hari, tiada maklum balas diterima. Apabila hadir ke pejabat syarikat, mereka memaklumkan tiada sebarang permohonan dalam sistem dan beliau pula diberikan bil baharu untuk dijelaskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Saral berkata, isu tersebut bukan tertumpu kepada satu jenis perkhidmatan sahaja, sebaliknya turut melibatkan langganan penstriman video, aplikasi mudah alih, gimnasium, pelan internet dan syarikat telekomunikasi.
“Kebiasaannya, pengguna mudah mendaftar langganan melalui percubaan percuma, namun secara automatik akan dikenakan caj selepas tempoh tamat tanpa notifikasi.
“Ada pengguna dikenakan caj hingga RM60 sebulan selama hampir setahun tanpa sedar manakala seorang lagi terpaksa membayar hampir RM2,000 kerana menamatkan kontrak internet lebih awal meskipun perkhidmatan yang diterima tidak memuaskan,” katanya.
Kajian di rantau ini menunjukkan seramai 69 peratus pengguna kecewa kerana tidak dapat membatalkan atau menjeda langganan dengan mudah, manakala 41 peratus lagi masih membayar perkhidmatan yang telah mereka lupakan.
Beliau berkata, meskipun Akta Perlindungan Pengguna 1999 menawarkan perlindungan tertentu, namun undang-undang tersebut masih belum mencukupi bagi menangani isu langganan digital secara bulanan atau pembaharuan automatik.
“Sektor telekomunikasi dilihat sebagai ‘zon selesa’ kepada syarikat besar apabila mereka bebas menetapkan penalti sendiri sekiranya pengguna mahu keluar awal dari kontrak, walaupun atas alasan perkhidmatan yang tidak memuaskan.
“Tiada peraturan khusus yang mewajibkan pelepasan tanpa penalti dalam keadaan sedemikian,” katanya yang mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan untuk dipertimbangkan kerajaan.
Antara cadangan tersebut seperti semua perkhidmatan mesti menyediakan pilihan pembatalan dalam talian yang mudah dan jelas iaitu butang ‘klik’ untuk batal.
Selain itu, pengguna perlu diberikan ruang untuk pembatalan langganan tanpa penalti dalam tempoh dua minggu dan dibenarkan keluar daripada kontrak tanpa caj keterlaluan jika perkhidmatan tidak menepati jangkaan.
Pada masa sama, syarikat dimestikan untuk memberi peringatan sebelum langganan diperbaharui dan perlu mendapatkan persetujuan pengguna terlebih dahulu.
Reka bentuk laman atau aplikasi yang menyulitkan proses pembatalan perlu diharamkan dan mempertingkatkan kempen kesedaran pengguna dalam usaha mendidik tentang hak mereka.
Mengambil contoh amalan di negara lain, Saral berkata, United Kingdom mewajibkan pemberian notis sebelum pembaharuan langganan dan membenarkan pembatalan hanya dengan satu klik.
“Sementara di Australia dan India, beberapa bentuk langganan automatik tanpa kebenaran telah pun diharamkan. Jika negara lain boleh melaksanakannya, Malaysia juga mampu.
“Ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada pengguna untuk mencuba servis baharu, malah membina kepercayaan terhadap syarikat yang telus dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Justeru, NCCC menyeru kerajaan, agensi penguat kuasa dan syarikat perkhidmatan supaya mengambil serius isu tersebut demi melindungi pengguna.
“Jika proses langganan hanya ambil masa lima saat, maka proses pembatalan juga patut semudah itu,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

