RMK13: Kerajaan fokus tingkat akses asas, jaminan makanan negara

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk memberdayakan rakyat dengan memastikan taraf kehidupan yang lebih baik melalui penyediaan akses kepada keperluan asas seperti makanan, perumahan dan kesihatan pada kadar mampu milik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, perkara itu merupakan antara teras utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan inklusif.
“Kerajaan mahu memastikan rakyat bukan sahaja terbela dari sudut pendapatan tetapi turut menikmati akses kepada makanan berkhasiat, rumah yang selesa dan rawatan kesihatan berkualiti pada harga berpatutan,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Anwar turut menegaskan bahawa kebergantungan negara kepada bekalan makanan import yang masih tinggi boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara jika berlaku gangguan dalam rantaian bekalan.
“Kelumpuhan bekalan makanan import boleh mengakibatkan krisis yang serius. Maka, kita mesti pertingkatkan pengeluaran makanan dalam negara,” katanya.
Bagi mengurangkan risiko itu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian berskala besar di Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak sebagai usaha memperkukuh sekuriti makanan domestik.
Kerajaan juga akan mempercepat dan memperluas pelaksanaan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, melibatkan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis, serta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan.
Pelaksanaan program ini turut diperluas ke kawasan pembangunan pertanian bersepadu di Selangor, Perak dan Pulau Pinang bagi meningkatkan hasil padi negara.
Pada masa sama, kerajaan akan mempergiat aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI), termasuk penggunaan pertanian pintar dan ladang satelit.
“Kerjasama erat antara petani termasuk agropreneur muda, institusi penyelidikan dan industri akan menjadi kunci kepada kejayaan transformasi sektor agromakanan,” ujar Anwar.
Selain itu, kerajaan akan mempelbagaikan sumber import makanan agar tidak bergantung kepada negara tertentu sahaja. Kawal selia kemasukan makanan ke dalam negara juga akan diperketat bagi menjamin keselamatan dan kualiti makanan yang diterima pengguna.
Anwar berkata, rantaian bekalan makanan juga akan diperkukuh secara menyeluruh melalui peningkatan kecekapan infrastruktur pusat pengumpulan, pemprosesan, penggredan dan pengedaran.
“Peruncit berskala kecil dan sederhana juga akan dibantu agar rantaian pengedaran makanan di peringkat akar umbi tidak terputus dan mampu beroperasi secara mampan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa minda rakyat perlu diubah daripada melihat pertanian sebagai aktiviti sara diri kepada satu peluang ekonomi yang menguntungkan dan berdaya saing.
“Segala ikhtiar ini akan meningkatkan sumbangan nilai ditambah subsektor agromakanan negara kepada RM58 bilion menjelang tahun 2030,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

