Salah faham cetus pergaduhan di kafe

Tular video memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan individu berhampiran sebuah kafe di Taman Beringin, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tular video memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan individu berhampiran sebuah kafe di Taman Beringin, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Salah faham susulan dakwaan seorang remaja ditampar individu tidak dikenali dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah kafe di Taman Beringin di sini, malam Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, seorang pekerja katering berusia 33 tahun cedera selepas dipukul menggunakan objek seperti kunci mangga serta dibaling topi keledar.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 12.07 tengah malam, Sabtu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan berada di sebuah kafe sebelum ternampak sekumpulan lelaki berkumpul berhampiran premis berkenaan.

"Mangsa bersama rakan kemudian menghampiri kumpulan terbabit untuk melihat apa yang berlaku sebelum secara tiba-tiba mereka diserang menggunakan objek termasuk kunci mangga dan topi keledar.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan sakit di bahagian kiri kepala,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tangkap layar video tular memaparkan pergaduhan di sebuah kafe di Taman Beringin, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tangkap layar video tular memaparkan pergaduhan di sebuah kafe di Taman Beringin, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian berpunca daripada salah faham berkaitan seorang remaja lelaki yang didakwa ditampar oleh individu tidak dikenali sebelum itu.

Artikel Berkaitan:

"Sekumpulan lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk datang ke arah mangsa dan rakan untuk bertanyakan mengenai insiden tersebut sebelum bertindak menyerang mereka.

“Mangsa dan rakannya kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Menurut Ahmad Sukarno, susulan kejadian itu, polis menahan 10 lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 41 tahun.

"Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek direman antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kira-kira tujuh hingga lapan individu daripada kedua-dua kumpulan terlibat dalam insiden berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di sebuah kafe di kawasan perumahan berkenaan.

Ringkasan AI

  • Salah faham akibat dakwaan seorang remaja ditampar menjadi punca pergaduhan di kafe Taman Beringin
  • Pekerja katering cedera dipukul dengan kunci mangga dan dibaling topi keledar
  • Polis menerima laporan kejadian dan siasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan
  • Pergaduhan dipicu apabila mangsa dan rakan didekati dan diserang oleh kumpulan mabuk kerana insiden tamparan
  • Polis tahan 10 lelaki dengan rekod jenayah dan dadah, disiasat atas pergaduhan tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!