Himpunan GARAH: Zamri Vinoth, Tamim Dahari direman dua hari

Zamri Vinoth ditahan sebelum ini berhampiran Kompleks Membeli Belah Sogo pada Sabtu.
Zamri Vinoth ditahan sebelum ini berhampiran Kompleks Membeli Belah Sogo pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua aktivis, Zamri Vinoth dan Tamim Dahari Abdul Razak direman dua hari bagi siasatan lanjut berhubung penganjuran Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) pada Ahad.

Zamri yang merupakan penyelaras himpunan terbabit bersama Pengasas TanahMalaya.Com, Tamim Dahari sebelum ini ditahan berhampiran Kompleks Membeli-Belah Sogo pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua individu itu direman untuk siasatan lanjut.

"Kedua-dua individu terbabit telah dibenarkan untuk direman dua hari," katanya ringkas pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis menahan seramai 19 individu termasuk dua yang akan direman bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang cuba dianjurkan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan dibuat susulan perhimpunan ad hoc yang berlaku walaupun pihak polis tidak membenarkan penganjurannya atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 15 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun ditahan ketika perhimpunan berlangsung pada Sabtu.

Ujar beliau, daripada tangkapan tersebut, dua individu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelasnya, manakala 17 individu lain ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah sebagai langkah pencegahan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Dua aktivis, Zamri Vinoth dan Tamim Dahari Abdul Razak direman dua hari berkaitan penganjuran Himpunan GARAH
  • Zamri dan Tamim ditahan berhampiran Sogo pada Sabtu sebelum reman
  • Ketua Polis Kuala Lumpur menyatakan kedua-dua individu direman untuk siasatan lanjut
  • Seramai 19 individu ditahan termasuk Zamri dan Tamim berhubung perhimpunan di hadapan Sogo
  • Daripada yang ditahan, dua disiasat di bawah Akta Hasutan dan undang-undang lain, manakala 17 lain di bawah langkah pencegahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!