Kerajaan digesa ambil alih peranan MIA, elak penindasan firma akauntan

BANGI - Kerajaan digesa mengambil alih sepenuhnya tugas kuasa kawal selia firma akauntan termasuk tugas semakan amalan (practice review) yang kini dijalankan oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Presiden Persatuan Akauntan Bertauliah Melayu (AMCAF), Mohd Noh Jidin berkata, ini kerana MIA tidak mempunyai kepakaran dan ketelusan dalam melaksanakan tugas pengawasan terhadap firma akauntan terutama kecil dan sederhana.
Menurutnya, tugas-tugas badan berkuasa sepatutnya diletakkan di bawah agensi kerajaan seperti Jabatan Audit Negara, Akauntan Negara atau Kementerian Kewangan.
"Kalau bawah kerajaan, saya percaya ahli jawatankuasa yang dilantik adalah sepenuh masa, telus dan adil serta boleh mendapat bantuan pakar daripada badan profesional negara luar seperti Australia dan England.
"Kita mahu institusi kawal selia yang bebas, telus dan berpengetahuan," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Mohd Noh mengadakan perjumpaan bersama 30 wakil firma tempatan bagi membincangkan isu yang berkaitan dengan isu 'Practice Review' yang dibuat oleh MIA ke atas firma Akauntan tidak ikut prosedur yang telus.
Tambah beliau, kegagalan MIA mengendalikan isu secara profesional telah mengakibatkan beberapa firma tempatan dikenakan denda yang tinggi dan tidak munasabah, selain digantung untuk tempoh antara tiga bulan hingga 18 bulan.
Jelasnya, ramai ahli tidak lagi yakin dengan ketelusan MIA dalam mengendalikan isu disiplin dan semakan audit, malah proses yang dikenakan ke atas firma sering kali berubah tanpa asas kukuh.
"Terdapat juga kes semakan amalan yang telah dibawa oleh ahli hingga ke Mahkamah Persekutuan dan memalukan kerana proses semakan tidak jelas. Jika tersilap sedikit, lesen boleh digantung walhal kesilapan tersebut tidak menjejaskan atau memberi kesan kepada mana-mana pihak.
"Bila digantung, ahli tidak boleh bekerja sedangkan firma mempunyai pekerja, pinjaman bank dan keluarga yang perlu ditanggung. Ini adalah tindakan yang zalim," ujarnya.
Mohd Noh turut menjelaskan bahawa peranan MIA sepatutnya terhad kepada pembangunan profesional seperti latihan, keahlian dan pensijilan, bukannya bertindak sebagai badan penguat kuasa.
“Seluruh dunia sudah lama menyerahkan tugas badan berkuasa sepenuhnya kepada kerajaan, dan badan profesional hanya menguruskan keahlian, latihan, pengeluaran piawaian dan pembangunan profesional.
"Untuk lebih faham, MIA kini bertindak sebagai polis, pendakwa dan hakim ke atas ahlinya sedangkan ahli itulah yang membayar gaji kakitangan MIA. Ini dianggap tidak wajar dan zalim, melainkan bagi kes berskala besar yang merugikan rakyat dan kerajaan," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

