APMM tahan kapal tangki bawa diesel tanpa dokumen sah

MELAKA- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal tangki membawa muatan kira-kira 50 tan metrik minyak diesel tanpa dokumen sah bernilai hampir RM180,000 di perairan Melaka, semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kapal itu ditahan pada 3.45 petang oleh bot ronda yang melaksanakan Ops MURNI dan Ops TIRIS 3.0 kira-kira 1 batu nautikan barat daya Pulau Melaka.
"Kapal itu dikendalikan lima kru warga Indonesia berusia antara 21 hingga 62 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda gagal mengemukakan invois pembelian dan mengisytiharkan kargo dalam dokumen Pelepasan Pelabuhan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, tindakan penahanan telah dilakukan dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa permit sah selain gagal mematuhi peraturan pengisytiharan kargo.
Beliau berkata, APMM akan terus mempergiat pemantauan di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan api yang boleh menjejaskan ekonomi serta kesejahteraan negara. - Bernama
Ringkasan AI
- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal tangki membawa 50 tan metrik minyak diesel tanpa dokumen sah
- Kapal itu ditahan di perairan Melaka, hampir 1 batu nautika barat daya Pulau Melaka
- Kapal dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berusia antara 21 hingga 62 tahun
- Nakhoda gagal mengemukakan invois pembelian dan dokumen Pelepasan Pelabuhan
- Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
