Kerajaan digesa tangguh pelaksaaan e-Invois PMKS dalam talian

PMKS dijangka terkesan dengan pelaksaan e-Invois serta menanggung kerugian sehingga RM2 bilion setahun.
PMKS dijangka terkesan dengan pelaksaan e-Invois serta menanggung kerugian sehingga RM2 bilion setahun.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menangguhkan pelaksanaan sistem e-Invois terhadap peniaga dalam talian khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera yang dijangka terkesan secara langsung serta menanggung kerugian sehingga RM2 bilion setahun.

Ketua Penyelidik Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Azlan Awang berkata, meskipun menyokong pelaksaaan itu, namun pihaknya berpandangan bahawa pendekatan semasa kerajaan terlalu membebankan peniaga kecil terutama mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Menurutnya, lebih 200,000 peniaga dalam talian dianggarkan masih belum mendaftar Nombor Pengenalan Cukai (TIN) kerana pelbagai faktor termasuk jualan yang rendah, tidak konsisten serta kekangan kefahaman terhadap sistem percukaian digital.

“Dianggarkan purata jualan peniaga hanya sekitar RM750 sebulan atau RM61 sehari malah jika jualan mereka hanyar RM1 sebulan, tetap diwajibkan mengeluarkan e-Invois sedangkan peniaga fizikal tidak perlu berbuat demikian.

“Beban pematuhan ke atas golongan ini adalah sangat tinggi dan tidak sepadan. Ramai daripada mereka tidak mempunyai sumber kewangan atau tenaga berkelayakan untuk memenuhi tuntutan pematuhan digital ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pelaksanaan e-Invois fasa ketiga secara menyeluruh akan bermula pada 1 Julai 2025 yang melibatkan semua jenis perniagaan termasuk PMKS.

Tambah Azlan Awang, pelaksanaan tergesa-gesa itu berisiko menyingkirkan ramai peniaga kecil daripada platform e-dagang tempatan sekali gus menyebabkan mereka beralih ke platform luar negara dan menyumbang kepada aliran keluar wang sehingga RM1.8 bilion.

“Kerajaan seharusnya lebih risau apabila peniaga PMKS yang tidak mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dibatalkan akses menggunakan platform e-dagang dalam negara dan berpindah ke platform luar negara.

“Lebih teruk ramai peniaga kecil mungkin berhenti berniaga dalam talian terus menyebabkan kerugian ekonomi berganda,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memberi penangguhan serupa kepada semua peniaga dalam talian dengan nilai jualan di bawah RM150,00 setahun dan menyediakan inisiatif sokongan termasuk latihan digital, insentif kewangan dan kemudahan teknologi.

Kerajaan juga disarankan untuk memberi tumpuan kepada percukaian terhadap gergasi digital antarabangsa seperti Google, Facebook dan Netflix yang mengaut keuntungan besar di Malaysia sehingga kini masih tidak membayar cukai secara langsung kepada kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!