Penduduk Kampung Sungai Baru minta PTG siasat status tanah

Penduduk Kampung Sungai Baru menghantar dua permohonan kepada PTG Kuala Lumpur agar menjalankan siasatan bagi menentukan status tanah di kawasan berkenaan.
Penduduk Kampung Sungai Baru menghantar dua permohonan kepada PTG Kuala Lumpur agar menjalankan siasatan bagi menentukan status tanah di kawasan berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk Kampung Sungai Baru meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur agar menjalankan siasatan bagi menentukan status tanah di penempatan terbabit menerusi dua permohonan yang telah dikemukakan.

Peguam Lawyers for Liberty (LFL) merangkap Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, N Surendran berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan dokumen rasmi dan peta yang menunjukkan ia berada dalam kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) iaitu Tanah Rizab Melayu (TRM).

“Kami hadir untuk menyerahkan permohonan supaya PTG dapat menjalankan siasatan atas status tanah di Kampung Sungai Baru yang mana pemohon menyatakan bahawa tanah mereka bukan tanah pajakan 99 tahun tetapi TRM.

“Oleh kerana fakta ini tidak tertulis dalam geran, kami mahu PTG menjalankan siasatan di bawah Bab 4 Kanun Tanah Negara bagi menentukan status tanah ini ialah MAS.

“Permohonan kedua adalah terhadap tanah penduduk yang belum diambil dan mereka mahu menuntut hak kepada tanah tersebut sebagai TRM,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan PTG Wilayah Persekutuan, di sini pada Rabu.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal yang tidak berpuas hati dengan pampasan diperoleh.

Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Jelas beliau, proses pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah selesai sepenuhnya pada Ogos 2023.

Artikel Berkaitan:

Penduduk Kampung Sungai Baru bersama Surendran (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita di pekarangan PTG Wilayah Persekutuan, di sini pada Rabu.
Penduduk Kampung Sungai Baru bersama Surendran (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita di pekarangan PTG Wilayah Persekutuan, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Surendran mendakwa, tiada sebarang reaksi atau jawapan daripada pihak kerajaan sejak isu tanah itu mula dibangkitkan pada Disember tahun lalu.

“Disebabkan tiada sebarang jawapan, penduduk memulakan proses perundangan secara rasmi dengan menghantar permohonan kepada PTG Kuala Lumpur hari ini (Rabu),” ujarnya.

Dalam pada itu, peguam Latheefa Koya berkata, pihaknya mahu kerajaan mendengar perkara yang dituntut oleh penduduk terbabit.

“Jangan kita perlekehkan dengan mengatakan mereka ini menolak pembangunan, kononnya mereka tinggal di rumah flat yang ada satu bilik sahaja dan tidak mahu kondominium cantik serta lebih besar.

“Isu sebenarnya, penduduk mahukan pembangunan tetapi hak mereka tidak harus dinafikan dan mereka berhak memastikan tanah mereka diiktiraf sebagai tanah MAS kerana ini akan menunjukkan nilai tanah sebenar,” ulasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias berkata, pihaknya mahu kerajaan membangunkan semula penempatan berkenaan sekiranya benar tanah itu merupakan kawasan MAS.

“Kami juga mahu hak pemilikan sebab di sini ada dua status iaitu rumah teres dan flat yang kebanyakannya telah dirobohkan. Kalau betul ini tanah MAS, kita minta kerajaan bangunkan semula flat di tapak berkenaan dan kembalikan orang asal ke situ.

“Saya juga ingin meminta rumah teres yang terlibat dengan pengambilan ini diberikan hak pemilikan semula kepada tuan asal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!